GAYA HIDUP

Jaga Kesihatan Vokal, Utamakan Identiti Suara - Syafinaz

20/12/2025 10:04 AM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Kecenderungan penyanyi untuk mengejar tawaran persembahan  tanpa mengambil kira tahap kesihatan suara menuntut kesedaran lebih serius tentang penjagaan vokal, kata penyanyi dan guru vokal popular Datuk Syafinaz Selamat.

Beliau berkata vokal adalah instrumen yang sangat mudah rosak jika dipaksa secara berterusan.

“Apabila vokal dipaksa terlalu kuat, risiko kerosakan yang tidak boleh pulih kembali memang wujud. Semua pihak perlu memahami keperluan rehat dan had fizikal penyanyi.

“Kalau perlu rehat, maka anda kena rehat. Menjaga kesihatan suara adalah prasyarat penting bagi kelangsungan kerjaya seni yang panjang dan konsisten,” katanya kepada Bernama.

pic-2

Mengulas identiti suara seseorang penyanyi, pelantun lagu Ingin Bersamamu itu menekankan bahawa setiap penyanyi perlu memiliki identiti tersendiri yang membezakan mereka daripada yang lain.

Syafinaz berkata identiti suara bukan sekadar bunyi yang sedap didengar, tetapi juga mencerminkan keunikan dan personaliti setiap artis, kerana tanpa identiti yang jelas pendengar sukar mengenali atau mengingati penyanyi, malah suara mereka mungkin hanya kedengaran seperti meniru orang lain.

pic-3

“Kalau tutup mata dan dengar suara, kita tahu itu suara siapa. Pernah ada suatu ketika, semua orang mahu menjadi Siti Nurhaliza (Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin), tetapi bila kita dengar, ia bukan suara Siti Nurhaliza.

“Selain itu, penyanyi pop kadang-kadang ada tabiat meniru suara penyanyi asal sesuatu lagu. Jadi, persoalannya, siapa diri kamu sebenarnya? Hari ini mahu meniru Mariah Carey, esok mahu meniru P. Ramlee. Kita mahu tahu siapa kamu sendiri,” katanya.

Beliau berkata identiti itu juga tanda pengenalan yang membantu seseorang penyanyi dikenali.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504704