AM

Karnival Sukan HAWANA 2025 Eratkan Hubungan Pengamal Media Seluruh Negara

20/12/2025 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Karnival Sukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan perpaduan dan semangat kekitaan dalam kalangan media dari seluruh negara, malah turut memupuk budaya kesukanan melalui penyertaan pelbagai agensi media.

Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj berkata karnival tahunan itu menghimpunkan pengamal media daripada pelbagai organisasi dan berperanan mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga media.

“HAWANA bukan sekadar acara sukan, malah turut menjadi medium untuk menyemai semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan pengamal media, termasuk penyertaan pasukan media dari negeri-negeri seperti Perak dan Kedah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada karnival itu di IWK Eco Park, Pantai Dalam di sini hari ini.

 Sebanyak 12 pasukan bola sepak dan lima pasukan bola jaring berentap dalam pertandingan yang disertai pelbagai agensi media, antaranya Bernama, The Sun, Media Prima dan  Astro Awani.

Arul Rajoo berkata acara bola sepak dan bola jaring itu merupakan kali kedua dipertandingkan dalam penganjuran Karnival Sukan HAWANA.

Program anjuran Bernama sempena HAWANA 2025 itu dimulakan dengan pertandingan boling pada 14 Dis di Wangsa Bowl, One Utama, diikuti acara bola sepak dan bola jaring hari ini di IWK Eco Park, Pantai Dalam.

Sementara itu, acara permainan tradisional dijadualkan berlangsung esok bermula 8 pagi, di lokasi sama (IWK Eco Park).

Antara permainan tradisional yang dipertandingkan ialah tarik tali, galah panjang, tuju tin, dam haji, congkak, dam ular dan untai gelang getah.

HAWANA mula diperkenalkan pada 2018 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan wartawan dalam pembangunan negara, dengan tarikh 29 Mei dipilih bersempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939.

HAWANA, yang pertama kali disambut pada 11 April 2018, merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana.

Majlis kemuncak sambutan HAWANA 2025 diadakan pada 14 Jun lepas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini dan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504841