AM

Econsave, MyCARE Sumbang Bantuan RM100,000 Untuk Mangsa Banjir Sumatera

20/12/2025 12:01 PM

Daripada Hasnah Jusid

ACEH, 20 Dis (Bernama) -- Pasar raya Econsave bersama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai kira-kira RM100,000 kepada mangsa banjir di Sumatera sebagai sokongan awal dalam fasa pemulihan pascabencana.

Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan Mas Imran Adam berkata bantuan itu merangkumi keperluan asas seperti makanan, selain kain terpal serta penyediaan dapur umum bagi membantu penduduk terjejas.

“Dapur umum yang disumbangkan akan beroperasi setiap hari selama 10 hari bermula semalam bagi menyediakan makanan kepada kira-kira 200 penduduk di kampung ini,” katanya selepas menyampaikan bantuan sempena Misi Kemanusiaan Banjir Sumatera di Kampung Gedumbak, Langkahan, di sini.

Beliau berkata sebanyak 300 keping kain terpal disumbangkan kepada 150 keluarga yang kehilangan tempat tinggal bagi membolehkan mereka membina khemah penempatan sementara.

Pemilihan Kampung Gedumbak yang dihuni kira-kira 1,000 penduduk melibatkan 450 keluarga berdasarkan lokasinya yang kurang menerima bantuan serta antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir besar yang melanda wilayah itu pada 26 Nov lepas.

“Hampir 90 peratus rumah penduduk di kampung ini mengalami kerosakan serius atau runtuh,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek MyCARE Noorsyazly Rameli berkata pelaksanaan misi bantuan berkenaan melibatkan 15 orang dengan dua pasukan operasi yang ditempatkan di Sumatera Utara dan Aceh.

Beliau berkata dapur umum di Kampung Gedumbak dilaksanakan dengan kerjasama Islamic Relief Indonesia, hasil sumbangan dana daripada MyCARE dan Econsave.

Selain itu, mereka turut menyumbangkan seekor lembu bagi kegunaan dapur umum berkenaan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh operasi.

“Kemusnahan yang dihadapi penduduk di sini sangat besar dan proses pemulihan dijangka mengambil masa yang panjang.

“Justeru itu, kami berharap rakyat Malaysia terus mendoakan serta menyumbang melalui tabung MyCARE bagi memastikan bantuan susulan dapat diteruskan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504741