SUKAN

Corat-coret Sukan SEA Thailand 2025

19/12/2025 06:44 PM

BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Berikut merupakan corat-coret Sukan SEA Thailand 2025 yang berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini:

 

MAKANAN JALANAN BANGKOK

Di ibu kota Thailand, makanan menjadi sebahagian daripada denyut nadi kota. Hampir setiap lorong dan simpang kecil akan bertemu gerai yang berasap dengan aroma bawang putih, cili serta sos ikan sehingga menusuk deria dengan penjaja begitu pantas dan cekap menyediakan setiap pesanan. 

Som tam yang ditumbuk di dalam lesung kayu, pad krapao yang dimasak dalam tempoh singkat atau sup boat noodle yang pekat sentiasa menjadi pilihan penduduk tempatan atau pengunjung.

Bagi pengunjung termasuk wartawan sukan yang bertugas, makanan jalanan di Bangkok seakan menjadi teman setia. Pilihannya tidak pernah putus - daripada pencuci mulut pulut mangga yang harum hingga ke sotong bakar yang dipanggang segar di depan mata. 

Menikmati juadah di tepi jalan sambil ditemani cahaya neon dan hiruk-pikuk kota memberi pengalaman berbeza bukan hanya kerana keenakan rasa tetapi juga kehangatan budaya yang menyelubunginya.

 

BERSUKAN BAWAH JAMBATAN

Di Bangkok, ruang di beberapa bawah jambatan bertingkat dan lebuh raya antaranya di Bangchak dan Lebuhraya Si Rat telah diubah suai secara meluas menjadi hab sukan dan rekreasi komuniti setempat.

Di sebalik landskap bandar yang padat, kawasan tersebut sangat penting dalam menyediakan tempat berteduh untuk bersukan dan bersosial.

Antara kemudahan sukan disediakan ialah gelanggang futsal, sepak takraw, bola keranjang dan trek joging.

 

SEOLAH-OLAH BERADA DI EROPAH

Bagaikan melangkah ke benua Eropah, itu perasaan setiap kali menjejakkan kaki ke Universiti Assumption, Kampus Suvarnabhumi di sini.

Kampus Suvarnabhumi yang menjadi tuan rumah acara terjun sememangnya terkenal dengan reka bentuk yang menampilkan seni bina megah yang berinspirasi Eropah.

Susun atur kampus yang menggabungkan estetika Barat dengan kehijauan taman tropika subur, menjadikan kawasan itu bukan sahaja memukau mata, malah cukup fotogenik dan pilihan untuk merakamkan gambar.

 

TANGISAN AIR MATA PETUGAS MEDIA 

Penantian panjang petugas media yang setia mengikuti perjalanan sukan sepak takraw akhirnya terlerai apabila dominasi tuan rumah Thailand dalam acara regu berpasukan Sukan SEA berjaya dipatahkan oleh skuad negara, sekali gus menghadiahkan pingat emas yang amat bermakna.

Kejayaan itu terasa lebih manis apabila Malaysia menoktahkan kemenangan 2-1 di bumi Gajah Perang, selepas berdepan kegagalan demi kegagalan sebelum ini sama ada di pentas Piala Dunia mahupun Piala Asia.

Dominasi Thailand yang sekian lama menghantui impian emas negara akhirnya terungkai hasil semangat juang tinggi dan ketahanan mental pemain negara yang enggan mengalah walaupun ditekan hebat sepanjang perlawanan.

Saat mata terakhir memastikan kemenangan memihak Malaysia, suasana di arena menjadi hening seketika sebelum disusuli sorakan kegembiraan, manakala di sudut media, linangan air mata petugas tempatan tidak dapat ditahan melambangkan simbol kepuasan, kelegaan dan kebanggaan atas kejayaan bersejarah itu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504567