SUKAN

Hoki Dalam Dewan: Skuad Lelaki, Wanita Berputih Mata Di Pentas Final

19/12/2025 09:28 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara berputih mata dalam pemburuan pingat emas pada Sukan SEA 2025 apabila masing-masing tewas pada perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Belia Bangkok di sini hari ini.

Pasukan lelaki tewas kepada juara bertahan Indonesia 0-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 4-4 dalam masa permainan sebenar manakala skuad wanita turut kecundang di tangan juara bertahan Thailand 3-4.

Keputusan itu menyaksikan skuad lelaki dan wanita negara sekali lagi kempunan untuk menikmati kilauan emas selepas turut dikecewakan kepada lawan sama di pentas final pada edisi 2023 di Kemboja.

Dalam saingan lelaki, Indonesia yang dibimbing bekas jurulatih hoki kebangsaan Muhammad Dharma Raj Abdullah mendahului 2-0 menerusi jaringan Yuan Jodie, sebelum Malaysia merapatkan jurang melalui Meor Muhamad Azuan Hasan dan kembali ketinggalan 1-3 hasil gol Revo Priliandro. 

Malaysia kemudian bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Ashran Hamsani dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan untuk terikat 3-3 pada separuh masa pertama.

Malaysia mendahului 4-3 pada suku ketiga hasil jaringan Shahmie Irfan Suhaimi, namun Revo Priliandro sekali lagi menyamakan kedudukan 4-4 pada suku keempat, mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Dalam penentuan penalti, penjaga gol Indonesia Alam Fajar muncul wira apabila menyelamatkan pukulan Abdul Khaliq Hamirin dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan untuk mengesahkan kemenangan pasukan itu.

Sementara itu, dalam final wanita, Thailand terlebih dahulu di depan hasil jaringan Wilawan Duangwao sebelum jaringan Raja Norsharina dan Nor Asfarina Isahiyifiqa masing-masing meletakkan Malaysia mendahului 2-1.

Namun, Thailand bangkit dengan gol penyamaan hasil penyudah Jiratchaya Todkaew sebelum menambah dua lagi gol masing-masing menerusi Tikhamporn Sakulpithak dan Jiratchaya.

Malaysia cuba bangkit namun hanya berjaya merapatkan jurang menerusi Nor Asfarina Isahiyifiqa sebelum pengadil meniup wisel penamat.

Kali terakhir Malaysia menyapu bersih emas adalah pada edisi 2019 di Filipina.

Sukan hoki dalam dewan julung kali dipertandingkan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, menyaksikan skuad lelaki negara mencipta sejarah memenangi pingat emas manakala skuad wanita terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504640