SUKAN

Rafiq–Syazirol Raih Emas Boling Acara Berpasangan

16/12/2025 11:08 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Gandingan boling negara Muhammad Rafiq Ismail dan Muhammad Syazirol Shamsudin mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan SEA 2025 di Thailand apabila meraih pingat emas acara berpasangan lelaki di Blu-O Rhythm & Bowl, Major Cineplex Ratchayothin, hari ini.

Muhammad Rafiq mencatatkan 203 jatuhan pin manakala Muhammad Syazirol menyumbang 266 jatuhan, sekali gus mengumpul keseluruhan 470 jatuhan pin untuk menewaskan pasangan tuan rumah Lapasdanai Chusaeng-Vilinkom Kledkaew, yang merekodkan 435 jatuhan pin (215-220).

Sementara itu, satu lagi gandingan negara Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Hasnul Azam dan Tsen Fan Yew, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa bersama wakil Singapura selepas tewas kepada lawan sama di peringkat separuh akhir.

Mengulas kejayaan itu, Muhammad Rafiq berkata pingat emas berkenaan menebus kekecewaannya selepas tersingkir pada peringkat suku akhir acara perseorangan lelaki, Ahad lalu.

“Ini memang boleh dikatakan saya dapat melepaskan geram. Banyak juga kritikan diterima selepas kekalahan dalam acara perseorangan, namun kali ini saya telah membuktikan bahawa pingat emas ini adalah standard sebenar saya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Gandingan negara itu kini menyasarkan untuk menambah koleksi pingat emas dalam acara berpasukan lelaki yang dijadual berlangsung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2503566