SUKAN

Debut Hasilkan Pingat Perak, Tetap Istimewa - Ariana

17/12/2025 04:32 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

BANGKOK, 17 Dis (Bernama) -- Pingat perak yang diraih skuad memanah recurve wanita negara pada Sukan SEA 2025 disifatkan cukup istimewa lebih-lebih lagi apabila ia merupakan penampilan sulung mereka di pentas temasya dwitahunan itu.

Trio negara yang diketuai Ariana Nur Dania Mohamad Zairi bersama Joey Xing Lei Tan dan Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Indonesia apabila tewas 3-5 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Lapang Sasar Memanah, Sports Authority of Thailand, hari ini.

Ariana berkata kejayaan membawa pulang pingat perak amat bermakna buat mereka meskipun berdepan pandangan bahawa persiapan dijalankan tidak mencukupi.

“Pingat perak ini sangat istimewa untuk kami. Walaupun ada yang beranggapan kami kurang persiapan, saya amat berpuas hati dengan pasukan baharu ini.

“Ini adalah penampilan pertama kami di Sukan SEA dan bukan mudah untuk terus meraih pingat,” katanya kepada Bernama

Ariana turut menambah satu lagi pingat perak menerusi acara recurve berpasukan campuran,  bergandingan bersama Muhammad Syafiq Busthamin apabila tewas kepada wakil Singapura 2-6.

Dalam pada itu, skuad memanah recurve lelaki menyumbang gangsa selepas menewaskan tuan rumah Thailand 5-3 dalam aksi penentuan tempat ketiga.

Pasukan lelaki negara dibarisi Muhammad Zarif Syahir Zolkepli, Muhammad Syafiq, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Afandi dan Chern Xin Quik.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2503771