Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Apa yang sepatutnya menjadi misi emas yang mudah bertukar menjadi ujian ketahanan mental dan pengurusan logistik buat pasukan ekuestrian negara sebelum penunggang muda, Megan Min Ern Ding, merangkul pingat emas acara dressage gaya bebas individu pada Sukan SEA Thailand 2025 hari ini.
Penunggang berusia 17 tahun itu mempamerkan persembahan yang elegan dan tersusun, memperlihatkan keharmonian, ketepatan serta kawalan tinggi untuk memikat hati juri di Thai Polo & Equestrian Club, Pattaya.
Megan mencatat 76.252 mata untuk muncul juara daripada lapan peserta, sekali gus memecahkan rekod Sukan SEA iaitu 70 mata milik penunggang senegara, Qabil Ambak, sebelum ini.
Penunggang Thailand, Pawarisa Thongpradup, berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 71.135 mata, manakala seorang lagi wakil tuan rumah, Nynn Puttisombat, melengkapkan podium dengan pingat gangsa hasil 70.410 mata.
Setiausaha Kehormat Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) Datuk Yap Mou Soon berkata pingat emas itu memang sudah berada dalam perancangan Malaysia, namun berdepan komplikasi tidak dijangka apabila kuda tunggangan Megan, Gaudi Vita, jatuh sakit sebelum diterbangkan dari Denmark.
“Kuda itu sepatutnya tiba pada 6 Disember, tetapi hanya sampai pada 9 Disember akibat demam. Kami terpaksa menanggung kos tambahan bagi memastikan kuda itu dapat dibawa masuk, apatah lagi kos penerbangan kuda yang sememangnya tinggi,” katanya kepada Bernama.
Meskipun berdepan dugaan, beliau memuji ketenangan dan kesabaran Megan sehingga berjaya menampilkan persembahan cemerlang untuk meraih emas.
Beliau percaya atlet kelahiran Sarawak itu mempunyai potensi jangka panjang untuk melepasi pentas Sukan SEA, termasuk bersaing di Sukan Asia dan Sukan Olimpik pada masa hadapan.
-- BERNAMA