SUKAN

Harimau Muda Tekad Raih Gangsa, Enggan Pulang Tangan Kosong

16/12/2025 11:57 AM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Misi meraih pingat gangsa menjadi keutamaan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan selepas terkandas di separuh akhir bola sepak lelaki pada Sukan SEA 2025.

Ketua pasukan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili berkata walaupun kecewa dengan kekalahan 0-1 kepada Thailand, skuad Harimau Muda tidak mempunyai pilihan selain beraksi habis-habisan dalam perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Filipina pada Khamis ini.

Pemain pertahanan Terengganu FC berusia 22 tahun itu berkata pencapaian meraih gangsa sedikit sebanyak mampu memadam kekecewaan pasukan.

“Gangsa adalah sasaran terakhir kami. Kami perlu bermain sehabis baik, tiada pilihan lain. Walaupun berdepan kekangan pemain dan isu kecederaan, kami akan cuba yang terbaik dengan apa yang ada.

“(Menang) gangsa dapat mengubati kekecewaan, sudah tentu bagi kami menang pingat tak kisah warna apa, impian kami hanya satu, untuk membawa pulang pingat ke tanah air,” katanya ketika ditemui selepas aksi separuh akhir menentang Thailand di sini semalam.

Pada pertembungan itu, gol kemenangan pasukan tuan rumah hadir menerusi sepakan percuma Yotsakon Burapha dari luar kawasan penalti yang menewaskan penjaga gol negara Sharani Zulhilmi.

Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama kira-kira 80 minit selepas pertahanan kanan Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil diperintah keluar padang susulan layangan kad kuning kedua pada minit ke-16.

Kekalahan itu bermakna Malaysia yang bergelut dengan isu pelepasan dan kecederaan pemain sebelum menghadapi temasya dwitahunan itu akan bertemu Filipina dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di sini pada Khamis ini.

Filipina tewas 0-2 kepada Vietnam dalam satu lagi aksi separuh akhir di sini semalam.

“Filipina bukan lawan mudah. Mereka ada pemain berkualiti dan akan menjadi lawan yang sukar,” kata Muhammad Ubaidullah.

Malaysia tersingkir pada peringkat kumpulan edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa edisi 2021 di Hanoi.

Kali terakhir skuad kebangsaan menamatkan saingan di podium adalah apabila memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2503188