KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Malaysia memerlukan lebih tiga juta ekor lembu menjelang 2040 bagi memenuhi keperluan bekalan daging dan tenusu domestik, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak.
Beliau berkata pembangunan industri ruminan negara menjadi antara fokus utama KPKM dalam perancangan jangka panjang untuk memperkukuh sektor agromakanan melalui penerapan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan dron bagi meningkatkan produktiviti sektor itu.
“Dalam tempoh 2021 sehingga 2025, kami melihat sumbangan sektor ini agak besar dan untuk masa depan kami melihatkan kadar sara diri (SSR) nak capai 50 peratus pada 2030.
“Pada tahun ini, kita ada lebih kurang 886,000 ekor lembu tapi pada 2030 kita perlu lebih tiga juta ekor lembu untuk memastikan agenda keterjaminan makanan itu dicapai, terutama dalam sektor ruminan negara,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia: MADANI Perkasa Pertanian, Kukuh Ekonomi Negara yang disiarkan di Bernama TV hari ini.
Beliau berkata pelbagai inisiatif termasuk program pembiakan baka, pengimportan lembu dan skim fidlot sedang dilaksanakan bagi mencapai tujuan berkenaan.
Selain itu, Isham berkata bagi menyokong industri ternakan ayam dan haiwan ruminan secara mampan, kementerian turut menumpukan pembangunan sektor jagung bijian khususnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan.
Beliau berkata sebelum ini Malaysia mengimport 100 peratus jagung bijian, namun pada tahun ini negara memulakan penanaman dengan sasaran pengeluaran kira-kira 1.25 juta tan setahun bagi kegunaan makanan haiwan.
Isham berkata pendekatan itu sejajar dengan agenda keterjaminan makanan negara yang memerlukan perancangan bersifat jangka panjang dan berteraskan inovasi antaranya menerusi kerjasama dengan negara luar termasuk dalam pertukaran teknologi dan amalan pertanian selain memastikan rantaian bekalan.
Beliau berkata penggunaan teknologi AI dalam akuakultur dan aplikasi dron dalam aktiviti pertanian dilihat mampu mengoptimumkan penggunaan input, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh, meningkatkan kecekapan pengeluaran, sekali gus menyokong kelestarian sektor agromakanan.
Sementara itu, Isham berkata sektor perikanan kekal sebagai antara penyumbang penting kepada ekonomi negara dengan sumbangan sekitar RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini, meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk faktor cuaca dan musim Monsun Timur Laut.
Isham ketika mengulas mengenai Belanjawan 2026 berkata peruntukan yang disediakan kerajaan mencerminkan komitmen berterusan terhadap sektor pertanian sebagai sektor strategik negara.
“Subsidi pertanian amat penting bagi menstabilkan harga makanan, menjamin bekalan serta memastikan kelangsungan hidup petani, pesawah dan nelayan,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM6.87 bilion kepada sektor pertanian, meningkat tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya, sebagai usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara dalam berdepan cabaran perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan global.
Selain itu, peruntukan RM2.63 bilion disediakan untuk pelbagai subsidi termasuk subsidi harga padi, subsidi tanaman padi, subsidi baja, subsidi benih dan insentif pengeluaran padi serta bantuan kepada pesawah, sekali gus merekodkan subsidi pertanian tertinggi dalam sejarah.
Isham berkata penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian adalah penting bagi menjamin kesinambungan agenda keterjaminan makanan negara, memandangkan majoriti pengusaha pertanian kini berusia lebih 60 tahun.
Beliau berkata melalui pelbagai skim geran dan sokongan keusahawanan, hampir 4,000 usahawan tani berjaya dilahirkan, dengan lebih 30 peratus memperoleh pendapatan melebihi RM5,000 sebulan.
Sementara itu, Isham berkata penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 akan dimanfaatkan sebagai platform menarik pelaburan, menjalin kerjasama strategik serta memperkenalkan teknologi pertanian bernilai tambah bagi memperkukuh ekosistem pertanian negara.
-- BERNAMA