JITRA, 14 Dis (Bernama) -- Berbekalkan minat mendalam terhadap pertanian moden, tiga beradik dari Kampung Tanjung dekat sini mengambil inisiatif memanfaatkan tanah terbiar dengan mengusahakan tanaman sayuran menerusi kaedah fertigasi meja berteraskan teknologi Internet Kebendaan (IoT).
Pengusahanya Izaani Mahadzir, 32, berkata projek itu dimulakan kira-kira setahun lepas setelah mendapat kerjasama serta bantuan geran infrastruktur daripada Jabatan Pertanian Negeri Kedah.
“Sebelum ini ada ahli keluarga cuba mengusahakan pertanian secara konvensional di tanah ini, namun tidak berjaya berikutan keadaan tanah yang kurang sesuai untuk tanaman.
“Selepas mendapat maklumat mengenai geran Jabatan Pertanian bagi pembangunan fertigasi meja, saya memohon dan permohonan itu diluluskan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata projek itu diusahakan bersama dua lagi adik-beradiknya yang turut mengikuti kursus serta latihan berkaitan kaedah fertigasi meja anjuran Jabatan Pertanian Negeri Kedah.
Izaani berkata tanaman sayuran berdaun seperti sawi, salad dan pak choy dipilih kerana mudah diusahakan, tempoh matang yang singkat serta tidak memerlukan penjagaan rumit.
Beliau berkata tanaman itu diusahakan dengan penggunaan sistem IoT melalui aplikasi telefon pintar yang membantu menjimatkan kos operasi kerana proses siraman dan pembajaan dapat dikawal secara automatik.
“Kami tidak memerlukan ramai pekerja kerana kebanyakan kerja boleh dikawal melalui telefon bimbit. Pemantauan fizikal hanya dilakukan sekali-sekala bagi mengelakkan serangan serangga,” katanya.
Beliau berkata sekiranya cuaca dan tahap kesihatan tanaman berada dalam keadaan baik, satu meja tanaman sawi mampu menghasilkan antara 35 hingga 40 kilogram bagi setiap kitaran tanaman dalam tempoh 25 hingga 30 hari.
Sementara itu, kakaknya Hanis Hazwani, 37, berkata projek berkenaan menerima suntikan awal menerusi geran infrastruktur bernilai RM100,000 yang disediakan Jabatan Pertanian.
“Geran ini meliputi penyediaan sistem fertigasi, rumah semaian, rumah operasi, meja tanaman, sistem pengairan serta baja bagi kitaran pertama. Setiap dua bulan kami perlu melaporkan perkembangan projek kepada Jabatan Pertanian dan mereka akan membantu sekiranya timbul sebarang masalah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Kubang Pasu Norasyikin Abdul Razak berkata Izaani dan Hanis Hazwani adalah antara peserta yang menerima peruntukan di bawah Program Keterjaminan Makanan.
Beliau berkata program berkenaan memberi tumpuan kepada pengeluaran sayuran berdaun seperti sawi, bayam, pak choy dan daun bawang yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan.
“Program ini melibatkan peruntukan hampir RM1 juta pada tahun lepas dan RM1.65 juta pada tahun ini untuk 15 peserta. Infrastruktur seperti rumah semaian, rumah operasi dan set fertigasi meja disediakan sepenuhnya.
“Bagi fertigasi meja, sasaran pengeluaran ditetapkan sebanyak RM200 bagi setiap meja. Jika peserta menerima 10 meja, mereka berpotensi menjana pendapatan sekitar RM2,000 sebulan,” katanya.
-- BERNAMA