WASHINGTON, 14 Dis (Bernama-dpa) -- Polis di Rhode Island menahan seorang individu berkepentingan berkaitan dengan kejadian tembakan di Brown University yang meragut nyawa dua orang pelajar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa), memetik gabenor negeri timur laut Amerika Syarikat (AS) itu Dan McKee pada Ahad.
McKee berkata beliau menumpukan kepada mereka yang kehilangan nyawa. Sembilan lagi cedera dalam serangan pada Sabtu itu. Mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.
Tiada butiran individu yang sedang ditahan itu diperoleh.
Lewat Sabtu, polis menerbitkan sebuah klip video menunjukkan seorang suspek lelaki berpakaian hitam dan mukanya tidak dapat dikenali. Mereka berkata dia meninggalkan kampus itu dengan berjalan kaki.
Pelajar-pelajar di universiti itu, sebuah kolej Ivy League swasta di ibu negeri Providence dan penduduk sekitarnya digesa untuk berlindung. Arahan ini telah dimansuhkan.
Providence terletak di selatan Boston dan mempunyai penduduk seramai 200,000.
Kes-kes keganasan bersenjata kerap berlaku di Amerika Syarikat - di sekolah, tempat kerja, pasar raya, kelab malam, dan acara besar. Senjata, termasuk senjata separuh automatik mudah diperoleh.
Walaupun kemarahan memuncak dan merebak susulan insiden tembakan yang serius, usaha untuk mengetatkan undang-undang mengenai senjata gagal bertahun-tahun.
--BERNAMA-dpa