EKONOMI

Sianlon Aquatic Sasar Kembang Perniagaan Ke Pasaran Jepun

11/07/2025 05:12 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Sianlon Aquatic Sdn Bhd, salah satu penternak benih ikan hiasan terkemuka di Malaysia, sedang meneroka prospek eksport baharu di pasaran Jepun susulan penyertaannya dalam Expo 2025 Osaka.

Syarikat berpangkalan di Johor itu yang terkenal dengan ikan hiasan Arowana Asia premiumnya, adalah antara perniagaan Malaysia yang dipilih untuk mempamerkan produk mereka pada acara global itu.

“Pendedahan itu membolehkan syarikat mengadakan perbincangan dengan bakal pengedar, pembeli dan rakan niaga dari seluruh rantau ini,” kata Sianlon Aquatic dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarahnya Charlie Ng berkata, syarikat itu amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memilih mereka menyertai ekspo tersebut.

“Ia membolehkan kami bertemu dengan rakan niaga yang berfikiran sama dan meneroka kemungkinan (peluang) baharu,” kata Ng, yang merupakan anak lelaki kepada pengasas bersama syarikat itu Ng Hang Yong

Sianlon Aquatic diasaskan pada 1978 di Batu Pahat, Johor, oleh dua orang adik beradik Hang Yong dan Huan Tong yang berkongsi minat yang sama dalam ternakan ikan hiasan.

Syarikat itu yang pada awalnya bermula secara kecil-kecilan dengan hanya enam kolam konkrit berkembang pesat dalam tempoh empat dekad menjadi perusahaan akuakultur berskala besar dengan lapan ladang seluas hampir 2,000 ekar dan dua akuarium runcit.

Buat permulaan mereka bermula dengan menternak ikan emas Ranchu dan kemudiannya mengembangkannya kepada spesies lain, termasuk Arowana Asia yang menjadi pilihan ramai.  

Pada 1994, Sianlon mendapat permit CITES (Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam), menjadi syarikat berdaftar pertama di dunia yang membiak dan mengeksport Arwana secara komersial.

Sejak itu syarikat tersebut telah mengembangkan kehadirannya di peringkat antarabangsa, termasuk membuka Ladang Ikan Xiang Long di Guangzhou, China, satu-satunya ladang seumpama itu yang mempunyai operasi domestik dan juga antarabangsa.

Penerokaan syarikat itu di China bermula pada era 2000-an selepas Hang Yong membawa 50 Arowana ke negara tersebut untuk meneroka potensi permintaan. Walaupun jualan agak perlahan namun syarikat itu berjaya membina hubungan dengan rakan niaga tempatan.

Ng berkata falsafah syarikat itu adalah untuk berkembang bersama rakan niaga mereka

“Kami memastikan pengedar boleh memperoleh keuntungan yang saksama. Pendekatan itu membantu kami membina hubungan jangka panjang yang kukuh," katanya.

Sementara itu beliau berkata ketika ini Sianlon sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa bakal rakan niaga di Jepun.

“Sekiranya berjaya, perkongsian itu boleh menjana hasil eksport yang tinggi (enam angka).

“Syarikat sebelum ini mencipta sejarah sebagai syarikat pertama mengeksport Arowana secara sah ke Jepun, tetapi operasi ditangguhkan berikutan pemergian bekas pengedarnya, dan kini Sianlon sedang berusaha untuk memasuki semula pasaran Jepun dan merancang mengembangkan jangkauan menerusi saluran dalam talian,” katanya.

Menurut kenyataan itu, syarikat tersebut mengeksport puluhan ribu Arowana setiap tahun ke pasaran termasuk China, Belanda, United Kingdom, Kanada, Filipina, Thailand, Vietnam, Brunei, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun.

“Syarikat juga membiakkan spesies ikan hiasan lain seperti stingrays, discus, lyretail mollies dan parrot cichlids.

"Kesihatan dan kualiti kekal sebagai asas utama operasi pembiakan ikan kami. Setiap ikan menjalani kuarantin profesional sebelum dieksport, termasuk pembasmian kuman dan penyediaan untuk meningkatkan imun. Perhatian khusus diberikan kepada diet dan kualiti air untuk memastikan pertumbuhan dan daya tahan yang optimum," kata syarikat itu.

Sianlon berkata syarikat itu juga mendukung amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

"Ladang kami direka bentuk untuk menyokong keadaan pembiakan semula jadi, membolehkan stok pembiak baka membiak tanpa gangguan manusia. Semua air yang dilepaskan adalah disterilkan ultraungu untuk mengelakkan pencemaran dan melindungi ekosistem sekitar," katanya.

Syarikat itu berkata, ia juga menerima sokongan daripada inisiatif disokong kerajaan yang mempromosikan ikan hiasan melalui pertandingan tempatan dan antarabangsa.

"Ikan Arowana kami sering memenangi hadiah utama semasa menyertai acara-acara ini, yang meningkatkan lagi kredibiliti jenama kami," katanya.

Pada masa depan, Sianlon berhasrat untuk melantik pengedar khusus di setiap negara di Asia.

"Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap rumah memiliki Arowana, bukan sekadar sebagai haiwan peliharaan, tetapi sebagai sumber ketenangan dan kesihatan mental. Melihat mereka (ikan) berenang dan memberi mereka makan adalah pengalaman terapeutik yang menenangkan," kata Ng.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444139