PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama pemimpin dan wakil kanan daripada tujuh negara serta entiti antarabangsa, di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang sedang berlangsung di sini.
Pertemuan yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri itu melibatkan China, Australia, Pakistan, Turkiye, Palestin, United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah.
Dalam pertemuan bersama Menteri Luar China Wang Yi, Anwar berkata kedua-dua pihak membincangkan pelbagai aspek hubungan Malaysia-China yang terus diperkukuh, susulan lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April, yang menyaksikan pemeteraian 31 dokumen persefahaman dan perjanjian.
“China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan mencecah US$106 bilion pada 2024. Kami turut meneroka usaha merapatkan jurang dagangan serta memperluas kerjasama dalam sektor pelabuhan, gas asli cecair (LNG), air, ekonomi digital dan teknologi hijau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama dan RTM.
Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan China terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN berhubung situasi di Myanmar, serta menegaskan pentingnya penyelesaian secara aman terhadap isu Laut China Selatan, selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Dalam pertemuan bersama Menteri Luar Australia Penny Wong, Anwar berkata Malaysia dan Australia meneruskan perbincangan ke arah memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957.
“Saya menyambut baik minat pelabur Australia dalam sektor pembuatan pintar, ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu.
“Australia turut dijemput menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada September ini, sejajar dengan potensi besar ekonomi halal sebagai pemacu kerjasama masa depan,” katanya.
Anwar juga berkata pendidikan kekal menjadi salah satu tonggak utama hubungan Malaysia-Australia, dan kedua-dua negara menjangka memeterai memorandum persefahaman (MoU) baharu pada Mesyuarat Pemimpin Tahunan Oktober ini.
Pemeteraian MoU itu merangkumi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kurikulum serta program pertukaran pelajar.
“Saya turut menghargai sokongan Australia dalam memperkukuh keupayaan vaksin tempatan menerusi dana latihan dan penyelidikan berjumlah AU$500,000,” kata Anwar.
Perdana Menteri juga menyatakan beliau menantikan lawatan rasmi Perdana Menteri Australia Anthony Albanese ke Malaysia pada Oktober ini, yang dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala berteraskan kepercayaan, nilai bersama dan aspirasi ke arah Indo-Pasifik yang lebih aman dan makmur.
Sementara itu pada pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Mohammad Ishaq Dar, Anwar berkata perbincangan antara lain menyentuh persiapan lawatan rasmi Perdana Menteri Shehbaz Sharif ke Malaysia tidak lama lagi, dengan jangkaan beberapa MoU bakal dimeterai.
“Alhamdulillah, nilai perdagangan Malaysia-Pakistan meningkat lebih 25 peratus tahun lepas kepada US$1.76 bilion. Kedua-dua pihak senada memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA), dan turut membincangkan langkah memperluas eksport daging halal dari Pakistan dengan penekanan terhadap daya saing harga,” katanya.
Turut dibincangkan mengenai kerjasama untuk meneroka peluang baharu dalam bidang pertanian, termasuk perdagangan beras.
Pada pertemuan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, Anwar dan Mohammad Ishaq Dar berkesempatan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global, termasuk hubungan ASEAN-Pakistan serta isu Jammu dan Kashmir.
“Malaysia kekal menyokong penyelesaian secara aman melalui dialog, sejajar dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB. Kami turut menggalakkan keterlibatan yang lebih erat antara Pakistan dan ASEAN pada masa hadapan,” kata Anwar.
-- LAGI
ANWAR-PERTEMUAN 4 (AKHIR) PUTRAJAYA
Anwar turut menerima kunjungan hormat Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan delegasinya yang menandakan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala di antara kedua-dua negara ke tahap lebih strategik.
Pertemuan itu turut menyentuh pelaksanaan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSC) dan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Luar (JCM), yang berfungsi sebagai platform penting menangani isu tertangguh serta meneroka peluang kerjasama baharu.
Anwar berkata Turkiye kini merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di benua Asia Barat dan Malaysia ingin terus menggalakkan pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, farmaseutikal, ekonomi digital dan hijau, AI serta aeroangkasa.
“Saya turut menghargai penyertaan Turkiye dalam industri pertahanan dan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025. Kita juga menjangkakan pemeteraian MoU kerjasama pertahanan serta memperkemas perolehan perkakas dan kelengkapan pertahanan antara kedua-dua kerajaan,” katanya.
Sementara itu pertemuan Anwar dengan Setiausaha Luar Negeri United Kingdom (UK) David Lammy, antara lain berkisar mengenai kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang mencakup pelaburan, peralihan tenaga, pendidikan, perubahan iklim, pertahanan, pendigitalan dan AI.
“Saya menerima kunjungan hormat dalam semangat memperkukuh hubungan dua hala yang kini telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik sejak pertemuan saya dengan Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer, pada Januari.
“Saya juga mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari UK, khususnya dalam sektor semikonduktor dan infrstruktur hijau melalui Agenda Perindustrian Global (APG), selain menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif UK sebagai rakan dialog ASEAN, khususnya dalam mendukung tindakan kemanusiaan di Myanmar dan menyeru gencatan senjata serta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara,” kata Anwar.
-- BERNAMA