AM

Menteri Perancangan Palestin Dr Estephan Salameh Tiba Di KL Untuk CEAPAD IV

11/07/2025 10:27 AM

Oleh Norhayati Akhir

SEPANG, 11 Julai (Bernama) -- Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin Dr Estephan Salameh tiba di Kuala Lumpur pada Jumaat bagi menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV).

Beliau tiba dengan penerbangan khas di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.40 pagi dan disambut oleh Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.

Salameh dijadual mempengerusikan mesyuarat itu bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya.

CEAPAD IV diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di bawah Pengerusi ASEAN Malaysia.

Mesyuarat kali ini antara lain akan memberi tumpuan kepada program pembangunan kapasiti, pembinaan semula infrastruktur penting di Palestin serta penyampaian bantuan kemanusiaan secara menyeluruh dan berkesan.

CEAPAD kini dianggotai oleh Jepun, Palestin, Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.

Mesyuarat peringkat menteri CEAPAD yang terakhir diadakan di Bangkok, Thailand pada 2018.

Menurut laman sesawang rasmi Kementerian Luar Negeri, penganjuran CEAPAD IV mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin, seperti ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Jan lalu yang menekankan keperluan mendesak untuk mempercepatkan usaha pembinaan semula Gaza dan Palestin.

Kementerian itu turut mengulangi komitmen Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan Jepun di bawah kerangka CEAPAD bagi menyahut seruan bantuan daripada rakyat Palestin.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443951