KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan Malaysia Esports Accelerator Programme (MEAP) sebagai usaha memperkukuh kedudukan pasukan e-sukan tempatan di pentas antarabangsa.
Timbalan Menterinya Adam Adli Abd Halim berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasa bakat-bakat e-sukan negara agar mampu bersaing di peringkat global.
“Setakat ini, sebanyak RM1 juta diperuntukkan, melibatkan RM300,000 untuk fasa pertama, manakala baki RM700,000 akan disalurkan bagi pelaksanaan fasa kedua kelak.
“Peruntukan fasa pertama akan digunakan bagi pelaksanaan bengkel serta sokongan logistik kepada pasukan-pasukan terlibat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MEAP di Puchong, dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak sembilan pasukan dan pemain e-sukan tempatan diumumkan sebagai penerima dana sokongan berjumlah antara RM5,000 hingga RM40,000 untuk menyertai kejohanan antarabangsa merangkumi pelbagai kategori permainan.
Antara pasukan yang terpilih ialah Selangor Red Giants (SRG.OG), Homebois, dan Navi Esports bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang, manakala Nova Esports, Black Shrew Esports, dan Alpha Gaming akan bersaing dalam dalam permainan Honor of Kings.
Kesemua pasukan terbabit dijadual menyertai Piala Dunia E-sukan yang sedang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi ketika ini.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Muhammad Naim Al-Amin berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan program MEAP dan menyeru pasukan atau pemain yang layak supaya memanfaatkan peluang yang ditawarkan.
Menurut beliau, mana-mana individu atau pasukan yang akan menyertai kejohanan antarabangsa boleh mengemukakan permohonan kepada Esports Integrated (ESI) atau terus kepada pihak MESF bagi melibatkan diri dalam program tersebut.
-- BERNAMA