KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Malaysia kini menjadi tumpuan komuniti permainan global menjelang penganjuran kejohanan Piala Pertengahan Musim (MSC) Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) bersempena Piala Dunia E-sukan (EWC) 2025.
Penganjuran kejohanan itu bukan semata-mata kerana pasukan Malaysia, iaitu Selangor Red Giants (SRG.OG) ialah juara bertahan, tetapi juga disebabkan kemudahan e-sukan yang terdapat di negara ini.
Kelebihan infrastruktur yang ada menjadikan Malaysia sebagai pilihan lokasi latihan terakhir bagi beberapa pasukan antarabangsa terkemuka seperti Gaimin Gladiators dari Amerika Syarikat, Aurora Esports (Turkiye), DianFengYaoGuai (China), dan Team Spirit (EECA) menjelang kejohanan berprestij itu.
Pemain Gaimin Gladiators, Ashley Ann berkata beliau memilih Malaysia berdasarkan kualiti kemudahan serta persekitaran latihan yang kondusif.
“Malaysia sangat cemerlang dari segi kestabilan dan konsistensi. Susun atur keseluruhan di sini lebih tersusun dan profesional berbanding di negara lain.
“Daripada penginapan sehinggalah ke ruang latihan, ia membantu mengekalkan fokus dan mengurangkan gangguan. Infrastruktur di sini lebih mantap yang menyokong rutin latihan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata lokasi strategik Malaysia turut menyumbang kepada faktor pasukan mereka memilih negara ini sebagai lokasi untuk menjalani persediaan akhir.
“Malaysia menawarkan keselesaan, aksesibiliti dan infrastruktur e-sukan yang kompetitif. Kedudukannya yang strategik turut memudahkan logistik untuk pasukan dan petugas sokongan.
“Kemudahan berkualiti yang ada, Internet yang stabil serta ekosistem e-sukan yang kukuh menjadikannya ia lokasi pilihan menjelang EWC,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Muhammad Naim Al-Amin berkata kehadiran pasukan MLBB bertaraf dunia bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa malah memperkukuh kedudukan sebagai hab e-sukan terkemuka di rantau ini.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai satu pencapaian besar dalam usaha memperkasakan ekosistem e-sukan tempatan.
“Ia sangat penting bukan sahaja dari segi prestij, tetapi juga untuk pembangunan ekosistem e-sukan Malaysia. Ini membuktikan Malaysia bukan sekadar pesaing, tetapi juga pemudah cara bagi aktiviti serta lokasi persediaan akhir e-sukan bertaraf dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua E-sukan Malaysia & Pasaran Baharu di MOONTON Games Siew Hao Zhen yakin kehadiran pasukan antarabangsa bakal menyuntik impak positif kepada perkembangan komuniti MLBB di Malaysia, khususnya melalui pendedahan serta peluang lebih luas untuk mendapatkan pengalaman.
Beliau turut menyentuh mengenai aspirasi jangka panjang MOONTON untuk meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan ekosistem MLBB serantau, termasuk dalam aspek pembangunan bakat, liga profesional dan infrastruktur operasi.
“Dengan pelaksanaan francais yang bakal diperkenalkan bagi MPL Malaysia, kami berhasrat menempatkan negara ini sebagai kuasa besar e-sukan serantau,” katanya.
-- BERNAMA