EKONOMI

BNM Turunkan OPR Sebanyak 25 Mata Asas Kepada 2.75 Peratus

09/07/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR,  9 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

BNM berkata kadar tertinggi dan terendah koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada 3 peratus dan 2.5 peratus.

“Penunjuk terkini menandakan pertumbuhan global yang berterusan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan dan sedikit sebanyak menerusi aktiviti yang dilakukan lebih awal. 

“Prospek pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal,” kata bank pusat dalam satu kenyataan hari ini.

Kali terakhir BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah pada Mac 2023. Kadar dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei 2023.

Selain itu, bank pusat berkata prospek ini dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan tarif serta ketegangan geopolitik yang menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi.

“Bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan berterusan dalam kegiatan ekonomi pada suku kedua, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan serta pertumbuhan eksport. 

“Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, BNM berkata pertumbuhan guna tenaga dan upah, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, berserta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan menyokong perbelanjaan isi rumah

“Pengembangan aktiviti pelaburan akan diteruskan oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional,” katanya.

Bank pusat berkata hasil rundingan perdagangan menggalakkan, dasar yang menyokong pertumbuhan di negara maju, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik serta aktiviti pelancongan yang rancak boleh meningkatkan prospek eksport Malaysia

“Bagaimanapun, imbangan risiko kepada prospek pertumbuhan cenderung menjadi perlahan, berpunca terutamanya daripada perdagangan global yang lebih perlahan, sentimen lemah serta pengeluaran komoditi lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada purata 1.4 peratus dan 1.9 peratus pada tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Secara keseluruhan, inflasi pada 2025 dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan,” katanya.

BNM berkata tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad, seterusnya menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang lebih sederhana.

“Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang telah dan akan diumumkan terhadap inflasi dijangka terkawal,” katanya.

Sementara itu, BNM berkata, prestasi ringgit akan terus didorong terutamanya oleh faktor luaran.

Prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan berterusan terhadap ringgit.

“Walaupun ekonomi dalam negeri berada pada landasan yang kukuh, ketidakpastian berhubung dengan perkembangan luaran akan mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Bank pusat berkata pengurangan OPR merupakan langkah awalan yang bertujuan mengekalkan persekitaran pertumbuhan Malaysia yang stabil dalam keadaan prospek inflasi sederhana.

“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443176