EKONOMI

DHL Perkukuh Operasi Di Malaysia Susulan Tarif AS

09/07/2025 04:24 PM

SHAH ALAM, 9 Julai (Bernama) -- Syarikat logistik DHL yakin untuk memperkukuh pertumbuhannya di Malaysia meskipun Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif timbal balik sebanyak 25 peratus ke atas negara ini.

Menerusi pelan hala tuju Strategy 2030 selama lima tahun, DHL berazam untuk meningkatkan pembangunan mampan dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi.

Pengarah Urusan DHL Express Julian Neo berkata selain keyakinan itu, faktor lain didorong oleh prestasi pelaburan langsung asing (FDI) yang menjanjikan dengan pertumbuhan suku ke suku yang konsisten serta momentum yang dijana oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Sebahagian besar Strategy 2030 datang daripada program Geographic Tailwinds 20 (GT20), dengan merujuk 20 negara yang dikenal pasti memiliki potensi pertumbuhan tinggi. Malaysia berada pada masa dan tempat yang tepat, sekali gus berpotensi meraih manfaat.

“Jika dilihat angka FDI pada suku pertama tahun lepas, jumlahnya signifikan, dan kerajaan juga melaksanakan pelbagai inisiatif. Sebagai contoh, kerjasama awam-swasta melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),” katanya pada taklimat media Strategy 2030 DHL di sini hari ini.

Neo berkata berdasarkan Laporan Keterhubungan Global DHL 2024, impak terhadap operasi DHL di Malaysia dilihat minimum, iaitu hanya 21 peratus perniagaan global terlibat dalam perdagangan rentas sempadan, dengan 2.6 peratus menggunakan laluan perdagangan AS-China.

“Pendedahan kepada tarif ini tidaklah seteruk yang disangka. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sedang giat meneroka pasaran baharu, dan syarikat di Malaysia wajar berbuat demikian. Sebagai contoh, ASEAN ialah pasaran besar dengan populasi hampir 680 juta.

“Daripada keseluruhan 1.2 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, hanya 18 peratus terlibat dalam perniagaan luar negara. Kami mahu membantu mereka, bukan sekadar mengeksport ke negara yang lebih jauh, tetapi bermula dengan negara jiran terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata kerajaan akan meneruskan rundingan dengan AS susulan pengenaan tarif balas 25 peratus ke atas eksport Malaysia, sebelum kadar tarif itu dimuktamadkan pada Ogos ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Rantaian Bekalan DHL Malaysia Mario Lorenz berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, DHL melabur kira-kira RM900 juta menerusi Kuala Lumpur Gateway, yang terletak di Terminal Kargo Udara KLIA 1, selain memperluas kapasiti gudang, tenaga kerja dan inisiatif kemampanan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM300 juta untuk Kuala Lumpur Gateway adalah bagi meningkatkan kesalinghubungan Malaysia dan dunia dengan lebih baik.

"Peruntukan tambahan RM655 juta lagi diperuntukkan sehingga 2028 (pelaburan oleh DHL Supply Chain) bagi meningkatkan infrastruktur dan perniagaan kami, termasuk Hab Logistik 5 di Pulau Pinang,” katanya.

Taklimat media itu turut dihadiri oleh Pengarah Urusan DHL Global Forwarding Malaysia, Singapura dan Brunei Christopher Lim serta Pengarah Urusan DHL eCommerce Malaysia Saurabh Kumar.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443167