DUNIA

Menteri Luar China Bakal Hadiri AMM Ke-58

09/07/2025 02:33 PM

BEIJING, 9 Julai (Bernama-CMG) -- Menteri Luar China Wang Yi akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur pada 10 hingga 11 Julai, menurut jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning dalam sidang taklimat di sini, pada Selasa.

Wang dijadual menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-China, Mesyuarat Menteri Luar ASEAN+3 (China, Jepun dan Korea Selatan), Mesyuarat Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur dan Mesyuarat Menteri Luar Forum Rantau ASEAN.

Mao berkata China berharap siri mesyuarat itu dapat menyatukan tenaga pelbagai pihak, memfokuskan kepada pembangunan dan kerjasama, serta membuat persiapan baik untuk siri sidang kemuncak kerjasama rantau Asia Timur tahun ini.

Beliau menegaskan bahawa China teguh menyokong kedudukan kepusatan ASEAN, mempergiat usaha penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN versi 3.0 dan mempromosikan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih erat.

"China bersedia bersama-sama negara di rantau ini untuk menjunjung multilateralisme yang sebenar dan regionalisme yang terbuka, mempertahankan perdagangan bebas dan sistem perdagangan pelbagai hala, di samping melaksanakan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secara berkualiti tinggi, serta meneroka kerjasama dalam industri baharu.

"Pada masa sama, China akan menyemarakkan konsep nilai Asia yang berteraskan keamanan, kerjasama, terbuka dan terangkum, membina model keselamatan Asia iaitu bersama-sama menghadapi risiko dan kemakmuran, serta menyelesaikan masalah melalui dialog dan rundingan demi membangunkan wilayah yang aman, selamat, makmur, indah dan mesra di Asia," kata Mao.  

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443108