AM

Op Kesan 4.0: Lebih 200 Premis Diperiksa Sejak 1 Hingga 7 Julai - Armizan

08/07/2025 02:58 PM

KOTA BHARU, 8 Julai (Bernama) -- Sebanyak 281 premis melibatkan 1,292 Unit Penyimpanan Stok (SKU) diperiksa oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Op Kesan 4.0 di seluruh negara sejak 1 Julai hingga semalam.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada jumlah itu sebanyak dua Notis Hadir di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 melibatkan enam SKU telah dikeluarkan dan selesai dilaksanakan.

“Empat syarikat lain juga telah dikeluarkan Notis Hadir dan sedang dalam tindakan sesi libat urus serta dijangka dipanggil oleh pihaknya pada minggu ini.

"Hingga semalam sebanyak 16 aduan berkaitan Op Kesan 4.0 diterima dan sedang disiasat," katanya selepas sesi libat urus Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 bersama Persatuan Peniaga Makanan Negeri Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata sejajar dengan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST), tindakan susulan penguatkuasaan yang dilaksanakan terhadap sebarang maklumat pergerakan harga barang dan caj perkhidmatan akan melibatkan penelitian kepada empat elemen.

"Elemen itu ialah Senarai Barang dan Bentuk Perkhidmatan; Senarai Perniagaan dan Syarikat Berdaftar; Tarikh Pendaftaran dan Pergerakan Harga dan Caj; serta Margin Pergerakan dan Pencatutan.

"Setiap perniagaan dan syarikat dinasihatkan untuk mengambil kira kesemua empat elemen penilaian ini sebelum melakukan sebarang pergerakan harga dan caj," katanya.

Beliau berkata bagi mengelakkan sebarang pelanggaran kepada kerangka perundangan berkaitan, semua pihak perlu membuat rujukan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Kewangan berhubung polisi serta mekanisme perlaksanaan dasar baharu berkaitan SST.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442649