CHENGDU, 8 Julai (Bernama-CMG) -- Bandar Chengdu di provinsi Sichuan, China kini bersiap sedia menganjurkan Sukan Dunia ke-12 yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 17 Ogos.
Setakat ini, kesemua 27 venue yang akan digunakan sempena temasya itu telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pihak penganjur, termasuk sembilan venue pertandingan sementara yang dibina secara khusus di kawasan taman tasik.
Antara lokasi yang mencuri tumpuan ialah venue di Taman Tanah Paya Tasik Xinglong, terletak di Daerah Baharu Tianfu, Chengdu yang bakal menjadi antara pusat pertandingan ikonik Sukan Dunia 2025.
Acara seperti kayak, perahu naga, parkour dan duathlon akan diadakan di taman itu yang mempunyai kawasan air seluas 300 hektar.
Venue ini juga dibina secara sederhana, terdiri daripada astaka atau “grandstand”, pusat media dan pusat pegawai teknikal untuk kegunaan sementara, sekali gus mencerminkan prinsip berhemat yang diutamakan pihak penganjur.
Sebagai temasya sukan komprehensif antarabangsa yang bertaraf tinggi selain Olimpik, Sukan Dunia Chengdu mempunyai 34 kategori pertandingan, merangkumi 60 acara dengan lebih 256 acara dipertandingkan.
-- BERNAMA-CMG