KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Penyanyi dan pencipta lagu terkenal Pot Amir sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap seni dan kemanusiaan melalui Singgahsana Trilogy Tour - sebuah program istimewa yang menggabungkan cinta, kasih sayang dan keharmonian melalui muzik di Liberal Latte, Bukit Damansara bulan depan.
Mengangkat nilai kasih sayang, kekeluargaan dan kemanusiaan, program yang akan berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos itu menghimpunkan tiga acara unik, iaitu Semoga PC (Pendoa Conference), R&B Date Nite dan Ratu Hi-Tea Show, dengan setiap satu dirancang khusus bagi meraikan pelbagai bentuk kasih sayang dan perpaduan dalam cara yang kreatif dan bermakna.
Pot Amir, atau nama sebenarnya Saiful Amir Abdul Wahab, berkata penganjuran ini merupakan inisiatif peribadinya sebagai pemuzik bebas untuk mencipta ruang seni yang lebih dekat dengan masyarakat.
“Kalau kita sebagai seniman hanya tunggu orang panggil, kita akan 'rosak' (hilang semangat berkarya, kebebasan berkreativiti dan akhirnya hanyut dalam industri). Saya pilih untuk buat sendiri dan ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu cara meraikan kasih serta menyampaikan ilmu yang kita pelajari daripada sejarah seni.
“Singgahsana Trilogy Tour merupakan usaha saya untuk menghidupkan semula semangat kekeluargaan dan kasih sayang melalui muzik. Ini peluang untuk kita bersama-sama meraikan cinta dan menyebar aura positif dalam suasana yang intim,” katanya pada sidang media, di sini baru-baru ini.
Berbeza dengan konsert berskala besar, Pot Amir berkata Singgahsana Trilogy Tour menggabungkan elemen muzik langsung, kenduri komuniti dan aktiviti interaktif dalam suasana santai serta terhad kepada 90 tetamu pada setiap acara.
"Semoga PC membuka tirai dengan jamuan talam bersama-sama 40 anak yatim terpilih, disusuli tayangan filem klasik, bacaan doa dan aktiviti komuniti serta tabungan amal," katanya.
Malam kedua katanya menyajikan R&B Date Nite yang memberi peluang kepada pasangan suami isteri merenung kembali hubungan mereka melalui makan malam romantis diiringi alunan lagu R&B.
Program diakhiri dengan Ratu Hi-Tea Show khas untuk meraikan wanita dan ibu-ibu melalui sesi minum petang yang santai namun bermakna.
Selain mempersembahkan lagu-lagu ciptaan sendiri, Pot Amir turut menjadikan siri ini sebagai wadah mengetengahkan kepentingan pemilikan karya dalam kalangan penggiat seni.
“Kita belajar daripada pengalaman terdahulu. Kalau kita hasilkan sesuatu, lebih baik kita simpan hak milik itu sendiri, barulah kita boleh tentukan hala tuju karya kita,” katanya, merujuk isu ramai seniman tidak sempat mempertahankan hak karya mereka.
Singgahsana Trilogy Tour dijangka turut menampilkan artis jemputan seperti Lah Ahmad, Zain Ruffedge, Sein Ruffedge, Azan Addin dan Semoga Band serta menerima sokongan Dana Persembahan Muzik GIG MADANI di bawah Dana Kandungan Kreatif MyCreative Ventures, Kementerian Komunikasi.
Orang ramai yang berminat dengan program anjuran Suruhanjaya Senyum ini boleh membuat tempahan tiket secara dalam talian di liberallatte.my.
-- BERNAMA