DUNIA

Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan Lulus Pelantikan Kim Min Seok Sebagai PM

03/07/2025 10:17 PM

SEOUL, 3 Julai (Bernama) -- Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan meluluskan pelantikan Kim Min Seok sebagai Perdana Menteri baharu, walaupun diboikot oleh parti pembangkang utama, Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Undian itu diluluskan dengan 173 sokongan berbanding 3 bantahan, manakala tiga undi tidak sah dicatatkan.

Hanya ahli Parti Demokrat (DP) yang memerintah serta beberapa parti kecil lain yang mengambil bahagian dalam pengundian tersebut.

Kim, seorang ahli parlimen empat penggal daripada DP dicalonkan oleh Presiden Lee Jae Myung hampir sebulan lalu. Selepas undian, Kim berikrar untuk memberi keutamaan kepada usaha menangani krisis ekonomi dan “mendukung hasrat rakyat.”

PPP sebelum ini mempertikaikan kelayakan Kim, memetik percanggahan dalam laporan kekayaannya, dakwaan berkaitan kemasukan anaknya ke universiti, serta pengajiannya di Universiti Tsinghua, China. 

Namun, DP tetap meneruskan undian walaupun tanpa penyertaan pembangkang.

Di Korea Selatan, jawatan perdana menteri merupakan satu-satunya jawatan Kabinet yang memerlukan kelulusan parlimen.

-- BERNAMA-YONHAP

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2441097