Daripada Arul Rajoo Durar Raj
ROME, 3 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan kawalan kehormat sejurus tiba di Istana Chigi, kediaman rasmi rakan sejawatnya dari Itali, Giorgia Meloni, pada Khamis.
Anwar, yang tiba di sini pada Selasa untuk lawatan kerja tiga hari ke Itali, disambut Meloni sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Meloni kemudian memperkenalkan delegasinya termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Itali Antonio Tajani, sebelum Anwar memperkenalkan delegasi Malaysia.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin mengesahkan komitmen mereka untuk mengukuhkan hubungan dua hala menerusi kerjasama yang lebih menyeluruh.
Mereka turut membincangkan pelbagai isu, termasuk kerjasama dalam sektor ekonomi, khususnya perdagangan dan pelaburan, serta kerjasama dalam pertahanan, tenaga boleh diperbaharui, kelestarian alam sekitar, agrokomoditi dan ekonomi digital.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk konflik berterusan antara Iran dan Israel serta krisis kemanusiaan di Timur Tengah.
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Zahid Rastam.
Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dengan Itali mencatatkan peningkatan dua peratus, mencecah RM14.61 bilion (USD3.18 bilion), berbanding 2023.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah dagangan meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM6.5 bilion (USD1.48 bilion).
Itali kekal sebagai rakan dagang kelima terbesar Malaysia dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah pada 2024.
Anwar akan berlepas ke Paris selepas ini dan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron semasa lawatan dua hari ke sana.
Seterusnya, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva.
-- BERNAMA