SUKAN

MFL Komited Tambah Baik Sistem VAR Liga-M Musim Baharu

02/07/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi jaminan akan menambah baik sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi kegunaan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025/2026 selepas beberapa insiden kontroversi ketika pelaksanaannya musim lepas.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL Mohd Shazli Shaik Mohd berkata dua taklimat khas berhubung penambahbaikan sistem itu telah dijalankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama wakil Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau berkata ia sebagai langkah mempertingkatkan mutu pengadilan menjelang musim baharu.

“Penambahbaikan buat masa ini belum lagi tapi kita ambil maklum kerana tahun lepas adalah kali pertama VAR dilaksanakan.

“Jadi perkara yang kita dah kenal pasti pada tahun lepas kita tambah baik bagi tahun akan datang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tahun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Datuk S. Sivasundaram berkata prestasi pengadil serta pengendalian VAR dinilai sebagai cemerlang, dengan purata 0.57 'On-field Review' (OFR) setiap perlawanan dan purata 2.27 minit masa tambahan digunakan untuk semakan VAR.

Bagaimanapun, beberapa kesilapan mencetuskan kritikan antaranya apabila pengadil Razlan Joffri Ali dan seorang pegawai VAR digantung dua perlawanan selepas perlawanan Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Mohd Shazli berkata MFL juga kini berada di landasan tepat bagi memastikan Liga-M musim 2025/2026 berjalan lancar, selain bebas daripada isu kelewatan penjadualan seperti yang berlaku pada musim lepas.

Justeru, beliau berkata jadual penuh Liga-M musim baharu itu akan diumumkan selepas beberapa elemen penting seperti undian Shopee Cup dan Liga Juara-Juara Asia(ACL) dimuktamadkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440492