IPOH, 3 Julai (Bernama) -- Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengambil alih siasatan kes bunuh seorang lelaki berusia 57 tahun yang ditemukan dengan kesan tikaman dan tembakan di sebuah rumah di Taman Tasek Damai di sini pada 24 Jun lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata ini kerana hasil siasatan yang dijalankan berkemungkinan kes itu melibatkan jenayah terancang.
"Pada mula, siasatan ia adalah local crime tetapi siasatan selanjutnya ia membabitkan jenayah terancang, jadi Bukit Aman ambil alih siasatan kes ini secara terperinci," katanya selepas merasmikan Program Derma Darah Polis Perak sempena Peringatan Hari Polis ke-218 Tahun 2025 di sini hari ini.
Noor Hisam berkata anak lelaki mangsa berusia 31 tahun yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat Selasa lepas.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata seorang lelaki yang ditemukan maut dengan kesan tikaman turut didapati mempunyai kesan luka tembakan di dada kiri yang dipercayai menjadi punca kematiannya.
-- BERNAMA