AM

Anwar Akhiri Lawatan Di Itali Dengan Pertemuan Bersama Perdana Menteri Giorgia Meloni

03/07/2025 02:28 PM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

ROME, 3 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengakhiri lawatan kerja tiga hari di Itali dengan mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawat beliau, Giorgia Meloni, di Palazzo Chigi, di sini pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka menegaskan semula komitmen negara masing-masing untuk memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama yang lebih menyeluruh.

Kedua-dua pihak juga akan membincangkan pelbagai isu merangkumi kerjasama dua hala dalam sektor ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan, serta kerjasama dalam pertahanan, tenaga boleh baharu dan alam sekitar, komoditi pertanian, dan sektor digital.

Perbincangan turut meliputi kerjasama antara rakyat termasuk pendidikan, pertukaran budaya, sektor pelancongan, serta isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama seperti situasi di Timur Tengah.

Pada mesyuarat dua hala, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Zahid Rastam.

Anwar tiba di ibu negara ini pada Selasa sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke Itali, Perancis dan Brazil, yang merupakan usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan dua hala dan menggalakkan kerjasama ekonomi pada peringkat global.

Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dengan Itali mencatatkan peningkatan dua peratus, mencecah RM14.61 bilion (USD3.18 bilion), berbanding 2023.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah dagangan meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM6.5 bilion (USD1.48 bilion).

Itali kekal sebagai rakan dagang kelima terbesar Malaysia dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah pada 2024.

Anwar akan berlepas ke Paris selepas ini, dan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron semasa lawatan dua hari ke sana.

Seterusnya, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440831