RENCANA

Personaliti Narsistik: "Pemusnah Senyap" Dalam Lingkaran Sosial

03/07/2025 11:04 AM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Di sebalik senyuman menawan, tutur kata meyakinkan dengan perwatakan baik selain sering menonjolkan dirinya sebagai seorang yang hebat, wujud satu sisi gelap pada sesetengah individu yang mampu merobek keharmonian hubungan sosial.

Mungkin ramai tidak menyedari ciri-ciri yang digariskan itu ialah sifat individu narsistik, iaitu orang yang mempunyai masalah gangguan personaliti narsistik (NPD). Golongan ini sering tampil sempurna di mata umum, tetapi realitinya mereka membawa beban psikologi yang boleh memberi kesan besar kepada orang di sekeliling mereka.

Menurut pakar, kehadiran individu narsistik dalam sesebuah perhubungan turut menjadikan suasana yang sepatutnya penuh kasih sayang serta saling menyokong berubah kepada fasa tekanan mental dan emosi yang memeritkan.

                         

RASA MEGAH

Mengupas isu ini, kaunselor berdaftar Faizah Mohamed Othman menjelaskan dalam dunia psikologi, istilah narsistik merujuk pola personaliti yang bersandarkan pada rasa megah atau mengagumi diri sendiri dari segi pemikiran ataupun tingkah laku.

Merupakan antara gangguan personaliti, beliau berkata individu narsistik mempunyai rasa penting diri yang tinggi selain kurang empati pada orang lain.


Kaunselor Faizah Mohamed Othman

 “Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (yang diterbitkan oleh Persatuan Pakar Psikiatri Amerika Syarikat), mereka yang disahkan sebagai NPD  cenderung mempunyai perasaan megah, taasub dengan kejayaan, kuasa, kepandaian, kecantikan dan percintaan.

“Selain itu,  mereka turut percaya bahawa diri mereka istimewa dan juga layak dilayan Istimewa, mempunyai rasa kagum terhadap sesuatu dengan berlebihan, memanfaatkan orang lain untuk kepentingan diri sendiri, iri hati serta mempunyai tingkah laku sombong dan bongkak,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Faizah berkata tingkah laku lain bagi seorang NPD  ialah sering  tampil segak dan berkarisma, bijak berkata-kata sehingga mampu mempengaruhi orang lain, berperwatakan berbeza, pendendam, agresif, berbohong dan sering berasakan diri mereka mangsa.

Jelasnya,  individu narsistik boleh mengaburi mata orang yang baru dikenali dengan pesona mereka dan hanya mereka yang sudah lama berdamping dengan individu narsistik akan mengenali dan mengetahui sikap  sebenar golongan itu.

Meskipun begitu, tidak semua individu yang mempunyai ciri-ciri itu boleh “didiagnosis” sebagai mengalami NPD, katanya, menambah hanya pakar psikiatri boleh berbuat demikian.

 

SEMBUNYI DI SEBALIK “TOPENG”

Beliau berkata individu narsistik kebiasaannya sangat menjaga imej  dan akan cuba menutup sebarang kekurangan atau kelemahan yang ada pada diri mereka dengan cara memantulkan kekurangan itu pada orang terdekat, sekali gus menampakkan diri sendiri sempurna.

Beliau berkata kebanyakan mangsa golongan NPD menghadapi tekanan mental dan emosi kerana individu narsistik suka mewujudkan persengketaan, selain akan memanipulasi, mengawal dan mengugut mangsa dengan tingkah laku mereka.

Situasi itu secara tidak langsung akan menyebabkan mangsa berasakan diri mereka dieksploitasi, bersalah atau patut dihukum.

Grandiosity merupakan topeng dan mekanisme mereka untuk menutup kekurangan atau kelemahan yang ada. Mereka sangat takut sekiranya topeng ini terbuka, sekali gus memperlihatkan perangai sebenar mereka.

“Selalunya ahli keluarga terdekat atau rakan sekerja pasti terkena tempias individu ini. Apatah lagi orang narsistik sering mewujudkan masalah dalam perhubungan, sama ada hubungan dengan rakan, keluarga atau pasangan,” tambah beliau.

Faizah berkata apabila mangsa rasa bersalah dan rendah diri, individu narsistik akan mula berasa diri mereka berkuasa dan mampu mengawal keadaan termasuk mengarahkan mangsa mengikut kehendaknya.

Akibatnya, mangsa akan menghadapi  fasa devaluasi (direndahkan), mengalami kemurungan, hilang perwatakan diri yang asal, keresahan, pengabaian emosi dan pengasingan (isolasi).


Narsistik bersandarkan pada rasa megah atau mengagumi diri sendiri dari segi pemikiran ataupun tingkah laku. -- (pix shutterstock)

“Saya kerap berdepan dengan kes rumah tangga dengan suami atau isteri mengadu tentang pasangan mereka yang mempamerkan personaliti narsistik. Kebiasaannya hanya mangsa yang mendapatkan khidmat kaunseling. Dalam perhubungan, narsistik ini akan berlaku tidak jujur dengan pasangan mereka, culas nafkah,  curang, malah ada yang suka menghilang beberapa hari, minggu atau bulan tanpa alasan munasabah.

 “Ada juga (narsistik) yang berbelanja besar di luar untuk kemegahan namun di rumah berkira dengan keluarga. Ada antara mereka ini yang cemburu buta, mengawal dan menuduh pasangannya dengan perkara yang tidak sepatutnya,” jelas beliau.

Lebih menyedihkan katanya, pasangan narsistik suka menghukum, melakukan perbuatan agresif serta kerap mengeluarkan kata-kata kesat atau kadangkala sengaja menyakiti secara lisan pasangannya.

Faizah berkata individu narsistik turut mengawal dan mengasingkan pasangan mereka daripada bergaul mesra dengan ahli keluarga dan kenalan, selain menggunakan pasangan hanya untuk keperluan dan kepentingan diri.

“Ada juga kes pasangan narsistik menggunakan orang ketiga dalam hubungannya supaya mewujudkan rasa terdesak, cemburu dan membuatkan mangsa berasa takut ditinggalkan. Mereka ini mendera mangsa secara ulangan iaitu merendahkan dan menyisih kemudian ‘love bombing’  atau memujuk pasangan dengan kata cinta dan kasih sayang untuk berbaik.

“Di tempat kerja pula, narsistik akan menyerlah dengan kebaikan, misalnya memanupulasi untuk kepentingan diri tanpa disedari oleh rakan sekerjanya. Mereka ini akan mengarah, mengkritik dan memalukan rakan sekerja demi mencapai sasaran dalam kerjaya serta suka berbelanja atau memberi dengan tujuan membesarkan circle (orang di sekelilingnya) atau mendapatkan pengaruh,’’ katanya.

 

SISI POSITIF

Bagaimanapun katanya, individu yang mempunyai ciri narsistik juga sebenarnya boleh memberi manfaat positif dalam beberapa keadaan tertentu.

Individu dalam kelompok itu berupaya menjadi pemimpin berwibawa  kerana sikap mereka yang yakin diri dan mahukan kesempurnaan secara tidak langsung mendorong dirinya serta pasukan dalam sesebuah organisasi ke arah pencapaian yang luar biasa.


Dr Nurazah Ismail, Pensyarah Perubatan USIM

“Kita boleh lihat ia akan memberi manfaat apabila individu narsistik ini merupakan seorang pengurus dalam organisasi… sikap mereka yang menjaga imej dan prestasi akan membawa organisasi ke tahap yang lebih baik.

“Individu narsistik juga amat menjaga standard kerjayanya, justeru mereka akan sentiasa melakukan yang terbaik supaya mereka terus dihargai dan disanjungi di dalam organisasi,’’ katanya.

 

TIDAK TAHU DIRI NARSISTIK

Sementara itu, pensyarah perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Nurazah Ismail berkata terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada perkembangan NPD atau ciri-cirinya.

“Kajian mendapati genetik turut memainkan peranan dalam membentuk ciri-ciri ini. Melalui kaedah neuroimaging (kaedah merakam serta memvisualisasikan struktur dan fungsi sistem saraf terutama otak), terdapat perbezaan pada korteks prefrontal (bahagian depan) otak individu yang mengalami gangguan NPD. Bahagian otak inilah yang penting dalam mengawal emosi dan keupayaan berempati.

“Ada juga sebahagian mereka membangunkan ciri-ciri ini disebabkan perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka, misalnya individu yang pernah menjadi mangsa buli… mereka membina gambaran bahawa diri mereka harus hebat bagi menutup rasa malu dan rendah diri yang terpendam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata secara umum, seseorang itu tidak menyedari dia sebenarnya narsistik, malah menganggap tingkah laku mereka normal.

Situasi itu berlaku kerana ramai daripada mereka telah dibesarkan dalam persekitaran yang mengukuhkan sifat-sifat tersebut, akibatnya tahap kesedaran diri mereka sangat rendah.

Dr Nurazah berkata individu narsistik sering menggunakan pendekatan tidak mahu mengaku salah dan menyalahkan orang lain bagi setiap konflik yang berlaku dalam kehidupan mereka sebagai mekanisme mempertahankan diri.


Kebanyakan mangsa golongan narsistik menghadapi tekanan mental dan emosi , -- (gambaradobe stock)

“Kita rujuk kes penceraian. Pada 2023 sebanyak 57,835 kes perceraian telah direkodkan di Malaysia, iaitu satu jumlah yang tinggi. Meskipun banyak artikel menggariskan faktor seperti tiada persefahaman, kelemahan komunikasi, kecurangan serta campur tangan keluarga atau mentua sebagai punca perceraian, kita jarang meneliti hingga ke peringkat akar umbi apa yang menyebabkan berlakunya faktor-faktor  ini.

“Adakah mungkin wujudnya sifat atau ciri narsistik pada diri pasangan yang boleh dikatakan sebagai punca utama berlakunya konflik, sehingga membawa kepada ketidakharmonian dalam rumah tangga,” katanya.

 

HARAPAN UNTUK PULIH

Dalam pada itu, Dr Nurazah berkata kesukaran individu NPD mengakui kelemahan diri adalah satu cabaran besar bagi merawat kelompok berkenaan kerana mereka juga mengelak daripada mendapatkan rawatan secara sukarela.

Kebiasaannya individu NPD  hanya dirujuk kepada pakar apabila berdepan masalah tekanan sosial yang tidak dapat dielakkan sehingga menyukarkan mereka menjalani kehidupan seharian sepertimana individu lain.

“Sekiranya mereka bersedia menerima bantuan, rawatan utama untuk masalah ini ialah melalui psikoterapi. Menerusi rawatan ini, kita akan beri tumpuan pada usaha membina empati, meningkatkan kesedaran diri serta mempelajari strategi pengurusan emosi.

“Walaupun NPD merupakan gangguan personaliti jangka panjang, perubahan positif tetap boleh berlaku dengan komitmen dan sokongan yang berkesan dan berterusan. Individu yang mempunyai NPD atau mempunyai ciri-ciri ini sebenarnya boleh belajar untuk membaiki tingkah laku mereka, membina hubungan yang lebih sihat dan akhirnya dapat mengurangkan impak negatif terhadap orang sekeliling,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440719