JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM Perkukuh Kerjasama Dengan Kementerian Komunikasi Tangani Isu Media Sosial - KPN

02/07/2025 07:24 PM

PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Komunikasi, terutamanya dalam menangani isu berkaitan penyebaran maklumat palsu dan menyalahi undang-undang di media sosial, bagi memastikan keselamatan negara dan rakyat terjamin.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pertemuannya bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini, membincangkan usaha menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks pada era digital.

“Saya percaya ini keutamaan PDRM, bagi memastikan keselamatan negara dan rakyat sentiasa terpelihara, bukan sahaja pada masa ini tetapi juga pada masa-masa akan datang.

“Menteri Komunikasi turut berharap agar kerjasama erat antara PDRM dan kementerian dapat digembelengkan sepenuhnya, terutama dalam menangani isu-isu yang melibatkan media sosial,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan itu, di sini hari ini.

Mohd Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 pada 20 Jun, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang bersara daripada perkhidmatan.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440593