AM

Kementerian Komunikasi Selaras Dana Majlis Media Malaysia Agar Disediakan Dalam Masa Terdekat - Fahmi

02/07/2025 04:58 PM

PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi kini menyelaraskan usaha untuk memastikan dana bagi Majlis Media Malaysia (MMM) dapat disediakan dalam masa terdekat, kata menterinya Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata satu pertemuan juga akan diadakan bersama-sama 12 anggota Lembaga Pengasas MMM dalam masa terdekat, bagi urusan berkaitan majlis berkenaan.

“Saya telah mengadakan satu pertemuan secara dalam talian dengan pihak Lembaga Pengasas (MMM) dan kita akan susuli dengan pertemuan fizikal.

“Memandangkan ada dalam kalangan wakil (MMM) yang bukan semua berada di Lembah Klang, maka kita akan cari masa bersesuaian untuk menjemput semua,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Fahmi mengumumkan Lembaga Pengasas MMM dianggotai 12 individu terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori, iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas, serta kategori ahli bukan media.

Akta Majlis Media Malaysia mula berkuat kuasa 14 Jun 2025 bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA). MMM akan berperanan sebagai badan kawal selia kendiri yang melindungi kebebasan media dan memastikan etika kewartawanan dipatuhi, sekali gus memperkasakan industri media di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan mengenai pelaksanaan Op Kesan 4.0, yang dijalankan sejajar dengan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST), mulai semalam.

Perkara itu usaha pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), untuk memastikan tidak berlaku aktiviti pencatutan ataupun profiteering akibat daripada pelaksanaan peluasan skop SST.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk membuat aduan sekiranya terdapat premis perniagaan menaikkan harga pada kadar yang tidak berpatutan.

“Insya-Allah KPDN akan segera kenal pasti premis-premis tersebut dan mengambil tindakan yang bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) diminta untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca panas ketika ini, berikutan Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula 10 Mei lepas dan akan berterusan sehingga September.

Beliau berkata KKM juga diminta untuk mengeluarkan nasihat kesihatan, termasuk kesesuaian aktiviti luar, yang bersesuaian dengan keadaan cuaca semasa.

“Jemaah Menteri telah mengambil maklum beberapa amaran cuaca panas yang dibuat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkait dengan MBD.

“Oleh demikian, orang ramai diminta untuk sentiasa mengambil maklum berkaitan notis atau pengumuman daripada MetMalaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440510