DUNIA

Xi Mahu Usaha Dipergiat Bina Pasaran Domestik Yang Bersatu

02/07/2025 03:25 PM

BEIJING, 2 Julai (Bernama-CMG) -- Presiden China, Xi Jinping menegaskan bahawa usaha perlu diperkasakan bagi membina pasaran domestik yang bersatu serta memperkukuh pembangunan ekonomi marin secara berkualiti tinggi.

Beliau menyatakan perkara itu semasa mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Pusat bagi Hal Ehwal Kewangan dan Ekonomi (CCFEA) yang diadakan pada Selasa.

Xi berkata pembinaan pasaran domestik yang bersatu merupakan keperluan bagi membentuk paradigma pembangunan baharu dan mendorong pembangunan berkualiti tinggi, justeru koordinasi dan kerjasama hendaklah diperkasa untuk merealisasikan usaha berkenaan.

Sementara itu, pembangunan ekonomi marin yang berkualiti tinggi adalah penting untuk menggerakkan modenisasi dan perlunya menempuh jalan bercirikan China dalam mengoptimumkan sumber marin demi pembangunan negara.

Mesyuarat itu menyatakan bahawa asas kepada pembinaan pasaran domestik yang bersatu ialah keseragaman dalam sistem pasaran asas, infrastruktur pasaran, tatalaku kerajaan, mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang, serta pengurusan pasaran faktor pengeluaran dan sumber.

Pada masa sama, keterbukaan ekonomi perlu terus diperluas.

Berhubung pembangunan ekonomi marin secara berkualiti tinggi, mesyuarat itu menegaskan tumpuan perlu diberi kepada pertumbuhan berasaskan inovasi, koordinasi yang cekap, pembaharuan perindustrian, keharmonian antara manusia dan laut serta kerjasama saling menguntungkan.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440463