AM

Pengisian Lebih Bersasar Pada PMR 2025 Terengganu

02/07/2025 02:46 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Julai (Bernama) -- Edisi keempat Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 berlangsung di Terengganu pada 10 hingga 12 Julai ini akan menzahirkan inspirasi kerajaan yang menekankan keterlibatan rakyat dalam pelaksanaan projek pembangunan negara serta mengangkat elemen kesejahteraan rakyat.

Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri selaku sekretariat induk memaklumkan program yang diadakan di Pasar Kedai Payang di sini akan menampilkan pengisian lebih bersasar dan menyentuh keperluan rakyat setempat merangkumi reruai perkhidmatan kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri.

Menurut kenyataan itu, program yang dianjurkan dengan kerjasama strategik antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) selaku penganjur bersama PMR 2025 Terengganu, mengetengahkan tema “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”.

“Program ini akan menampilkan beberapa pengisian menarik seperti inisiatif kesejahteraan komuniti, jualan MADANI, kaunter saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemeriksaan kesihatan, peluang pekerjaan serta pertukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan dan aktiviti yang ditawarkan secara langsung sepanjang program ini. Program akan bermula 9 pagi hingga 10 malam (Khamis dan Jumaat), manakala pada Sabtu, bermula 9 pagi hingga 6 petang,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan Majlis Penutup PMR 2025 Terengganu pada 12 Julai, selain dihadiri pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440435