JENAYAH & MAHKAMAH

Bomba Selamatkan Wanita OKU Warga Emas Jatuh Perigi Buta

02/07/2025 01:36 PM

IPOH, 2 Julai (Bernama) -- Seorang wanita warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) mental terjatuh ke dalam sebuah perigi buta di belakang rumahnya di South Ward, Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.40 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambun bergegas ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer.

"Mangsa berusia 68 tahun terjatuh ke dalam perigi buta yang berkedalaman tiga meter dan mempunyai diameter selebar satu meter. 

"Anggota bomba melaksanakan 'size-up' seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap), dengan seorang anggota turun ke dalam perigi untuk mengeluarkan mangsa dengan dipakaikan 'harness' dan diikat pada stretcher (pengusung)," katanya dalam kenyataan.

Sabarodzi berkata mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan operasi tamat pada 9.39 pagi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440415