JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Nyaris Maut, Pikap Terkena Tembakan Di Hadapan Sekolah

01/07/2025 11:46 PM

BUTTERWORTH, 1 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya ditembak individu tidak dikenali dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyior, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an dilaporkan terselamat.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah sebelum didatangi seorang suspek yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah cermin sisi pemandu sebelum meloloskan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Terdahulu, beberapa keping gambar berkaitan kejadian telah tular di media sosial.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440286