AM

Henti Beri EOT Tanpa Alasan Munasabah Kepada Projek Lewat Siap - Dr Zaliha

01/07/2025 09:13 PM

LABUAN, 1 Julai  (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menggesa semua agensi pelaksana di Wilayah Persekutuan menghentikan amalan tidak sihat memberi had lanjutan masa (EOT) tanpa alasan munasabah kepada projek pembangunan yang lewat siap.

Ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini, Dr Zaliha berkata projek yang melibatkan kemudahan awam perlu disegerakan tanpa kompromi.

Beliau berkata projek seperti sekolah, hospital dan projek berkaitan hal ehwal keselamatan negara, termasuk perumahan anggota tentera, bukan sahaja melibatkan hak rakyat malah mencerminkan keberkesanan tatakelola pentadbiran kerajaan.

“Amalan memberikan EOT ini adalah amalan tidak sihat memandangkan kontraktor hendaklah bertanggungjawab menyiapkan projek mengikut jadual yang telah dipersetujui tanpa sebarang alasan yang tidak munasabah,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya malam ini.

Mesyuarat berkenaan yang menghimpunkan semua agensi Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, disifatkan beliau sebagai platform penting untuk memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan lancar dan bagi menyelaras dasar inisiatif kesejahteraan rakyat di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Berdasarkan laporan Roling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak 648 projek fizikal dan 320 projek bukan fizikal direkodkan.

“Daripada jumlah itu, 402 projek berada dalam fasa prapelaksanaan, 461 projek dalam pelaksanaan, 104 projek di fasa pascapelaksanaan, dan satu projek dibatalkan,” katanya.

Beliau turut menggesa semua agensi berkaitan supaya memantau rapat kemajuan projek pembangunan di bawah bidang kuasa masing-masing dan tidak meluluskan EOT sewenang-wenangnya.. 

--BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440235