AM

KPKT Peruntuk RM165,000 Baik Pulih Rumah Penduduk Kurang Berkemampuan

01/07/2025 08:11 PM

JASIN, 1 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM165,000 diperuntukkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membiayai Program Baik Pulih Rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata jumlah itu meliputi empat rumah dibaik pulih dengan setiap satu menelan kos RM20,000.

“… manakala satu lagi pembinaan baharu rumah yang rosak akibat bencana bernilai RM85,000 dan setiap kerosakan dinilai wakil agensi berkaitan bagi mendapatkan kos anggaran baik pulih,” katanya kepada pemberita pada Program Sentuhan Kasih Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyantuni penerima Program Baik Pulih Rumah di bawah PPKB di Pondok Kempas dan Kesang Tua bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban.

Pada majlis itu, MPJ turut menyampaikan sumbangan barangan elektrik dan kit makanan kepada penerima inisiatif berkenaan.

Rais berkata program WRUR turut memainkan peranan penting dalam menerima dan menyelesaikan aduan rakyat secara terus di peringkat akar umbi, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil termasuk mengenal pasti rumah-rumah yang memerlukan perhatian segera.

Sementara itu, seorang penerima Rohana Mohamad Nasir, 66, berkata dia amat bersyukur dengan bantuan itu selepas beberapa tahun berdepan masalah bumbung bocor, yang merisaukannya setiap kali hujan.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu, kini saya tak perlu bimbang dan menadah dengan besen sekiranya hujan disebabkan bumbung yang bocor,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2440208