MELAKA, 1 Julai (Bernama) -- Tawaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) sebanyak RM150 yang berakhir semalam dilanjutkan sehingga 31 Dis ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.
Beliau berkata lanjutan tawaran itu bagi tiga kategori notis saman iaitu saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bermula Oktober 2018 hingga kini, Notis 114 (notis temu siasat) dan Notis 115 (permintaan butir-butir pemandu) bermula 2023 dan ke bawah.
“Sehingga semalam, hanya 442,870 saman diselesaikan menerusi tawaran bayaran Flat Rate yang diperkenalkan sejak 2 Jan.
“Berdasarkan rekod, masih terdapat 2.03 juta saman belum dijelaskan orang awam dengan saman tertinggi ialah saman AWAS iaitu 1.54 juta saman,” katanya selepas meninjau Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Bas Persiaran di Terminal Bas Melaka Sentral di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop.
Aedy Fadly berkata saman tertunggak bagi notis 114 adalah 311,866 saman manakala notis 115 merekodkan 171,321 saman.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan menjelaskan saman yang boleh dikompaun sama ada tertunggak atau melebihi tarikh kompaun boleh menyebabkan kenderaan disenarai hitam secara automatik menerusi sistem JPJ bermula hari ini.
Bagi syarikat yang mempunyai saman tertunggak seperti diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke minggu lepas, mereka diberikan tempoh sehingga 8 Julai sebelum dikenakan tindakan.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang awam yang mempunyai tunggakan kompaun bagi tiga kategori notis saman tersebut, yang sebelum ini dikenakan kadar RM300 agar merebut peluang menyelesaikan bayaran pada kadar Flat Rate RM150 sebelum 31 Dis, sama ada melalui aplikasi MyJPJ atau kaunter JPJ.
-- BERNAMA