AM

FRIM Terajui Usaha Pemuliharaan Pokok Karas, Tingkat Kualiti Gaharu Negara

30/06/2025 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Malaysia antara pengeluar utama gaharu dari hutan asli, namun spesies kayu karas penghasil resin berharga itu kini berdepan ancaman akibat eksploitasi berlebihan dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap proses penghasilannya.

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Abd Majid Jalil berkata tidak semua pokok karas menghasilkan gaharu kerana resin berkenaan hanya terhasil melalui tindak balas kimia apabila pokok berkenaan mengalami tekanan tertentu.

“Tanggapan umum yang menyamakan pokok karas sebagai ‘pokok gaharu’ telah menyebabkan ia (pokok karas) ditebang walaupun tidak mengandungi gaharu yang menyumbang kepada penyusutan spesies berkenaan.

“Kekeliruan itu turut dimanipulasi oleh pihak tertentu dengan menjual anak pokok karas sebagai anak pokok gaharu tanpa penjelasan mengenai proses sebenar pembentukan resin itu,” katanya dalam kenyataan.

Gaharu merupakan sejenis resin aromatik bernilai tinggi yang banyak digunakan dalam industri minyak wangi, pembakaran kayu beraroma dan upacara keagamaan khususnya di negara-negara Timur Tengah dan rantau Asia. Ia terbentuk secara semula jadi apabila pokok karas atau Aquilaria spp. mengalami kecederaan akibat serangan kulat, serangga atau gangguan fizikal lain.

Beliau berkata masyarakat diseru supaya tidak terperdaya dengan penjualan anak benih yang digelar ‘anak pokok gaharu’ tanpa pemahaman lengkap tentang proses yang memerlukan masa dan usaha tambahan untuk menghasilkan resin berkualiti.

Abd Majid berkata spesies pokok karas utama penghasil gaharu termasuk Aquilaria malaccensis, A. crassna, A. sinensis, A. rugosa, A. microcarpa, A. hirta, A. beccariana dan A. rostrata, namun populasi spesies berkenaan semakin merosot di Semenanjung Malaysia.

Ekoran ancaman berkenaan, beliau berkata spesies Aquilaria disenaraikan di bawah Lampiran II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam (CITES) serta dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Sementara itu, Abd Majid berkata FRIM yang telah menjalankan penyelidikan mengenai gaharu selama 25 tahun turut menyediakan khidmat teknikal dan nasihat kepada pengusaha serta komuniti bagi meningkatkan pemahaman terhadap proses penghasilan resin itu dan amalan pengurusan pokok yang lestari.

Beliau berkata sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan hutan negara, FRIM komited menyokong pemuliharaan biodiversiti serta pembangunan industri gaharu tempatan yang berdaya saing menerusi pendekatan saintifik dan inovatif.

“Kesedaran serta ilmu tepat mengenai pokok karas dan produk gaharu amat penting bagi memastikan sumber ini dapat dimanfaatkan secara mampan tanpa menjejaskan kelangsungan spesiesnya,” katanya.

--BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2439747