DUNIA

Pengendali RTS Link Laksana Kajian Pasaran Akhir Untuk Tentukan Tambang - Loke

30/06/2025 06:22 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 30 Jun (Bernama) -- Pengendali Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura sedang melaksanakan kajian pasaran akhir bagi menentukan kadar tambang, dengan harga muktamad dan mekanisme tambang akan diumumkan menjelang pelancaran perkhidmatan, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke pada Isnin.

“Kita berharap mekanisme harga yang tepat dapat dilaksanakan bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan perkhidmatan RTS.

“Matlamat keseluruhan projek ini adalah untuk menggalakkan peralihan mod pengangkutan, memastikan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam untuk merentas Tambak Johor,” katanya pada sidang media bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow selepas pelancaran tren pertama daripada lapan set tren RTS Link di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) di sini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

RTS Operations Pte Ltd (RTSO), usaha sama antara Prasarana RTS Operations Sdn Bhd dan SMRT RTS Pte Ltd, merupakan pengendali RTS Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura melalui rel rentas sempadan.

Loke berkata kerajaan Malaysia sedang mengusahakan sistem pembayaran terbuka yang selaras dengan trend pengangkutan awam global, membolehkan pengguna menggunakan pelbagai kaedah pembayaran.

Siow pula berkata kadar tambang perlu ditentukan secara komersial oleh RTSO dengan mengambil kira permintaan, penawaran dan kos.

Sementara itu, Loke berkata RTSO akan memuktamadkan waktu operasi perkhidmatan tren yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands North di Singapura dengan mengambil kira penumpang yang berulang-alik awal pagi.

“Satu prinsip penting ialah tiada rel bandar yang beroperasi 24 jam. Kita memerlukan beberapa jam untuk kerja kejuruteraan dan penyelenggaraan rutin,” katanya.

Loke berkata projek ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan kualiti hidup pengguna yang berulang-alik antara sempadan, malah mewakili pengukuhan hubungan antara Malaysia dan Singapura di tengah-tengah peningkatan perlindungan perdagangan global.

“Di tempat lain, orang sibuk membina halangan.

“Di sini, kita meruntuhkan halangan, mengukuhkan hubungan, membina lebih banyak jambatan penghubung, dan ini akan mendekatkan lagi Singapura dan Malaysia, khususnya antara Singapura dan Johor Bahru,” katanya sambil menambah projek ini adalah komponen utama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2439700