SUKAN

Abdul Rashid Dilantik CEO MASOC 2027 - Hannah

01/07/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Hannah berkata pelantikan Abdul Rashid berkuat kuasa hari ini dan tanggungjawab utamanya mengetuai sekretariat yang berperanan menyelaras semua aspek persiapan bagi penganjuran temasya dwitahunan serantau itu.

“Abdul Rashid, 61, memiliki pengalaman luas dalam dunia sukan negara dengan pembabitan secara langsung selama lebih 37 tahun dan memegang pelbagai jawatan dalam MSN sebelum bersara sebagai Ketua Pengarah pada awal April 2025.

“Abdul Rashid juga memainkan peranan penting membantu MASOC dalam bidang pengurusan ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017,” katanya.

Selain Kuala Lumpur, penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 turut membabitkan tiga negeri lain, iaitu Sarawak, Pulau Pinang, dan Johor.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2439973