GAYA HIDUP

Aswara Anjur Festival Peta 2025 Mulai 28 Jun Ini

23/06/2025 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan menganjurkan Festival PeTA (Penilaian Tahun Akhir) 2025 yang menampilkan karya kreatif pelajar ijazah sarjana muda dan diploma tahun akhir daripada pelbagai fakulti institusi berkenaan.

Penyelaras Festival PeTA 2025 Dr Norsafini Jaafar berkata festival tahunan itu melibatkan Fakulti Tari, Muzik, Teater, Seni Halus, Penulisan Kreatif dan Filem, Animasi, Pengurusan Seni dan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) akan berlangsung di Kampus Aswara di sini, bermula 28 Jun hingga 6 Julai depan.

“Ini merupakan saat penting dan penentuan yang mempamerkan kredibiliti para pelajar melalui penilaian projek akhir dengan disaksikan penonton dan audiens yang hadir sepanjang festival berlangsung.

“PeTA bukan platform menilai keupayaan teknikal dan artistik pelajar tetapi juga cerminan suara generasi baharu terhadap isu-isu semasa dan budaya masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Norsafini yang juga Dekan Fakulti Tari, berkata festival itu bukan sahaja menjadi medan penilaian akademik, tetapi platform terbuka bagi masyarakat awam dan pihak industri untuk menyaksikan bakat baharu dalam pelbagai bidang seni yang ditawarkan Aswara

pic-2

“Kami berharap penganjuran festival ini dapat terus menyemarakkan kecintaan terhadap seni dan memperluaskan apresiasi budaya dalam kalangan masyarakat di negara ini,” katanya, menambah kehadiran penggiat seni, institusi pendidikan dan masyarakat umum untuk menyokong karya-karya pelapis baharu dalam industri kreatif ini amat dialu-alukan.

Pengisian utama festival termasuk Hari Terbuka Aswara pada 28 Jun yang dibuka kepada umum dengan pelbagai aktiviti interaktif, pameran seni pelajar serta maklumat berkaitan pengajian.

Sepanjang festival, pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan pentas daripada pelajar Fakulti Tari, Muzik, Teater dan Penulisan Kreatif dan Filem, serta pameran seni visual dan digital yang merangkumi karya dua dimensi, tiga dimensi, animasi dan filem pendek.

Turut diadakan siri bengkel terbuka selama dua jam yang dianjurkan setiap fakulti bagi memberi peluang pembelajaran secara langsung kepada pelajar dan orang awam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2437416