EKONOMI

Hasil Binastra Naik 43 Peratus, Nilai Perolehan Kontrak RM4.1 Bilion

19/06/2025 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Binastra Corporation Bhd (Binastra) meraih perolehan hasil lebih tinggi sebanyak 43 peratus kepada RM256.8 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir pada 30 April, 2025, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan bersihnya menokok sebanyak 38.9 peratus tahun ke tahun kepada RM25.1 juta, didorong oleh sumbangan kukuh segmen pembinaan yang juga teras kumpulan.

Dalam kenyataannya hari ini, Pengarah Urusan Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata kumpulan itu beroperasi pada kapasiti penuh dalam usaha memastikan tahun yang cemerlang dengan menyasarkan perolehan kontrak bernilai RM4.0 bilion bagi tahun kewangan 2026.

Pertumbuhan pula dijangka dipacu oleh momentum berterusan di Lembah Klang selain peningkatan peluang di Johor Bahru dengan nilai perolehan kontrak semasa kontrak kira-kira RM4.1 bilion menerusi 25 projek sedang dilaksanakan, kata kumpulan pembinaan itu.

Bagi suku itu, Binastra juga mencadangkan pengambilalihan LF Lansen yang juga penyedia penyelesaian kejuruteraan cekap tenaga, termasuk sistem penyimpanan tenaga haba dan tangki penimbal.

Langkah ini dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Binastra dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kepakaran teknikalnya, terutama dalam menyokong projek-projek pusat data.

“Selain itu, kami juga telah menubuhkan cabang tenaga boleh baharu (TBB), Binastra Green Energy Sdn Bhd pada Februari 2025 dan berhasrat menjalin bekerjasama dengan pemain utama tempatan dalam sektor tenaga solar.

“Kami menjangkakan kerjasama ini membolehkan kumpulan mengambil peranan penuh dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk pembangunan TBB, sekali gus membuka laluan strategi jangka panjang bagi menceburi infrastruktur hijau,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2436046