AM

Dasar Pengurusan Air Bawah Tanah Perlu Disegerakan, Jamin Kelangsungan Bekala Air Negara

17/06/2025 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Dasar pengurusan air bawah tanah sebagai sumber alternatif perlu segera dirangka dan dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan bekalan air negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata langkah ini perlu kerana sumber air yang merupakan asas dalam kehidupan dan pembangunan negara kini semakin terancam akibat pencemaran, perubahan iklim dan peningkatan permintaan.

“Dalam konteks ini, air bawah tanah merupakan alternatif penting yang lebih bersih, kurang terdedah kepada pencemaran dan berpotensi besar khususnya sumber air bawah tanah di kawasan luar bandar,” katanya ketika merasmikan Seminar Potensi Air Bawah Tanah: Altenatif Pengurusan Sumber Air di Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, seminar itu menghimpunkan pembuat dasar, pelaksana dan pihak berkepentingan bagi merangka hala tuju yang jelas dalam pengurusan air, khususnya air bawah tanah secara menyeluruh, dengan Parlimen berperanan sebagai jambatan antara badan legislatif dan pelaksana.

Turut hadir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi  Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Johari berkata Malaysia tidak seharusnya berdepan masalah air memandangkan kedudukan negara yang dikelilingi laut serta menerima taburan hujan yang tinggi.

“Malaysia bukanlah negara besar, dengan hanya 32 juta penduduk. Takkanlah kita tidak mampu menyelesaikan isu air ini. Lainlah kalau kita di Ethiopia atau Afrika. Kita negara maritim, dikelilingi air, cuma isunya adalah bagaimana kita menguruskan sumber ini untuk kegunaan rakyat,” tegasnya.

Sementara itu, Akmal Nasrullah menyifatkan seminar itu sebagai pemangkin kepada dasar baharu berasaskan data dan tindakan konkrit.

“Malaysia masih bergantung kepada sumber air permukaan seperti sungai dan empangan bagi memenuhi keperluan domestik, industri, dan pertanian. Namun, ketidaktentuan iklim, pencemaran, serta peningkatan permintaan semakin mengancam jaminan bekalan air negara.

“Dalam hal ini, sumber air bawah tanah berpotensi menjadi pelengkap strategik kepada sistem sedia ada,” katanya.

Katanya, kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mendapati negara mempunyai rizab air bawah tanah yang besar, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sering terpinggir daripada sistem bekalan air konvensional.

Bagaimanapun, katanya pembangunan sumber ini masih terbatas disebabkan kekurangan data hidrogeologi, keterbatasan teknologi pemetaan dan pemantauan serta tahap kesedaran awam yang masih rendah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2435045