EKONOMI

EPIC, GTR Jalin Kerjasama Bagi Perkukuh Tenaga Hijau Dalam Operasi Penerbangan

17/06/2025 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) bagi meneroka bekalan dan pemasangan panel solar di terminal kargo GTR serta gudang pusat penyelenggaraan peralatan perkhidmatan darat.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata perkongsian itu mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat untuk memajukan agenda tenaga hijau di Malaysia.

“Mengikut perjanjian itu, EPIC menerusi anak syarikatnya, Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPPSB) akan bertindak sebagai penyedia penyelesaian utama bagi infrastruktur solar, manakala GTR akan menilai integrasi sistem tenaga solar untuk menjana kemudahan operasi utamanya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC  (GCEO) Muhtar Suhaili berkata perkongsian itu bukan sekadar kerjasama perniagaan, tetapi komitmen bersama bagi mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor sokongan penerbangan.

“Menerusi inisiatif ini, kami menyasarkan untuk menyokong objektif kemampanan GTR dengan memanfaatkan kepakaran EPIC dalam menyampaikan sistem panel solar dan penyelesaian tenaga baharu bagi kemudahan komersial dan perindustrian melalui anak syarikat kami, EPPSB.

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan GTR untuk merealisasikan hasil yang praktikal dan boleh diukur dalam penggunaan tenaga bersih, selaras dengan aspirasi yang ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia,” katanya.

Sementara itu, GCEO GTR Musdalifa Abdullah menekankan bahawa kerjasama dengan EPIC menandakan satu langkah penting dalam usaha berterusannya ke arah operasi darat yang neutral karbon.

“Dengan mengintegrasikan tenaga solar dalam kemudahan kargo dan penyelenggaraan kami, kami dapat mengukuhkan komitmen kami terhadap penerbangan yang mampan, dan kami berharap untuk bekerjasama dengan EPIC untuk menyampaikan kemajuan sebenar yang boleh diukur selaras dengan matlamat peralihan tenaga Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2435010