EKONOMI

Rafizi Zahir Ucapan Terima Kasih Kepada Individu Bantu Usahakan Inisiatif Ekonomi

13/06/2025 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada beberapa individu yang banyak membantu beliau dalam mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi.

Beliau berkata mereka merupakan pegawai-pegawai dasar dalam pasukannya yang dipujuk beliau untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabatnya.

“Daripada cili kepada semikonduktor, ekosistem syarikat pemula, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), gaji progresif sehinggalah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan.

“Kini mereka akan kembali ke bidang masing-masing,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Katanya pegawai-pegawai tersebut ialah Dr Azraai Bahari Nasruddin, Benjamin Quek, James Chai, Ismat Qayyum dan Haqimi Zamri.

“Saya banyak belajar daripada mereka, mungkin lebih daripada mereka belajar daripada saya,” katanya. 

Dalam pada itu, Rafizi berkata beliau memasuki pejabatnya semalam dan hari ini untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.

Pada 28 Mei lepas, Rafizi meletak jawatan daripada Kabinet berkuat kuasa 17 Jun selepas tewas pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan telah menerima permohonan cuti serta pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju meluluskan cuti manakala sebarang keputusan lanjut dimaklumkan kemudian.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2433792