PASARAN

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Susulan Kebimbangan Peningkatan Tarif

04/06/2025 08:55 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi pada Rabu susulan kebimbangan peningkatan tarif hasil daripada pertemuan yang dijangkakan berlaku di antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dengan Presiden China Xi Jinping, kata seorang penganalisis.

Rakan Kerjasama Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sekiranya rundingan itu gagal, ia akan mencetuskan semula kebimbangan terhadap peningkatan tarif yang seterusnya akan menyokong kenaikan harga emas.

“Namun begitu, hasil yang positif daripada pertemuan itu akan mengehadkan kenaikan harga emas dalam jangka masa terdekat, mencerminkan peralihan minat pelabur kepada aset yang lebih berisiko dan kadar faedah AS yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta baharu bagi Jun 2025 meningkat kepada US$3,377.70 setiap auns troy daripada US$3,372.90 setiap auns troy pada Selasa manakala kontrak Julai 2025 susut kepada US$3,379.50 setiap auns troy daripada AS$3,386.60 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak bagi Ogos, September dan Oktober 2025 melonjak kepada US$3,403.10 setiap auns troy daripada US$3,397.80 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan menokok kepada 62 lot berbanding 32 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 77 kontrak daripada 55 kontrak sebelumnya.

Emas fizikal berharga US$3,334.75 setiap auns troy, mengikut penetapan harga oleh London Bullion Market Association pada 3 Jun 2025.  

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2430824