SUKAN

Cklamovski Enggan Ulas Pemain Warisan Baharu

02/06/2025 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) - Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski enggan mengulas mengenai spekulasi mengaitkan tiga pemain warisan baharu dengan Harimau Malaya.

Malah menurutnya ada antara nama yang disebut media tiada dalam pengetahuannya. 

Jurulatih dari Australia itu berkata fokus skuad kini pada perlawanan persahabatan tertutup menentang Cape Verde di Stadium Nasional Bukit Jalil esok selepas mereka seri 1-1 dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, Khamis lepas.

"Banyak nama yang disebut media, (sebahagiannya) nama yang saya tak pernah lihat. Jadi banyak spekulasi. Saya hormat itu (tugas media) tetapi buat masa sekarang, anda (media) nampaknya lebih tahu daripada saya.

"Kami menyiapkan pasukan untuk perlawanan mencabar esok dan itu akan membawa kami ke fasa akhir (kem latihan)," kata jurulatih berusia 46 tahun itu ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pasukan kebangsaan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Media tempatan hari ini melaporkan tiga pemain warisan baharu akan ke Malaysia menjelang perlawanan malam esok bertemu Cape Verde.

Tiga pemain yang dinyatakan ialah penyerang Rodrigo Holgado dari Amerika Syarikat, pemain pertahanan Sabah FC Jon Irazabal dari Azerbaijan dan penyerang Olympiacos Jefte Betancor yang kini dipinjamkan di Panserraikos.

Sementara itu, Cklamovski berkata pasukannya akan bermain dengan intensiti tinggi sebaik mungkin ketika berdepan pasukan nombor ke-72 dunia itu.

"Kerana kami mahu menjadi lebih baik dari segi fizikal dan kami mahu bermain pada rentak yang pantas, tetapi perlu diingat kami menentang pasukan yang kuat, pasukan negara yang mahu ke Piala Dunia. Mereka mengungguli kumpulan mereka (pusingan kelayakan) dan ia cabaran yang besar," katanya.

Dalam pada itu, Cklamovski yang pertama kali membawa pasukan bimbingannya bermain di Stadium Nasional menyifatkan venue itu sebagai tempat istimewa untuk latihan dan pertandingan bagi Harimau Malaya.

Perlawanan persahabatan menentang Cape Verde adalah sebahagian daripada persiapan Malaysia menghadapi perlawanan penting menentang Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional pada 10 Jun ini.

Vietnam dan Malaysia menduduki tangga teratas kumpulan dengan masing-masing meraih tiga mata selepas memenangi perlawanan pertama.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2430072