GUA MUSANG, 1 Jun (Bernama) -- Pembinaan semula jambatan di Pos Balar akan dimulakan dalam masa terdekat dengan proses perolehan kini pada peringkat akhir, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Mohd Nor.
Beliau turut menafikan dakwaan agensi itu menghadapi kekangan kewangan dan memaklumkan tindakan segera telah diambil sebaik sahaja laporan kerosakan jambatan diterima pada Mac lepas.
“Sebarang projek infrastruktur termasuk pembinaan semula jambatan di Pos Balar perlu melalui proses perolehan bagi mematuhi prosedur ditetapkan kerajaan.
“Proses perolehan untuk projek-projek kerajaan melibatkan peruntukan serta penilaian aspek teknikal sebelum ia dapat dilaksanakan. Keputusan perolehan telah pun diterima, pembinaan akan dilaksanakan bulan ini,” katanya kepada pemberita di Pos Pasik di sini hari ini.
Sapiah berkata JAKOA telah memperuntukkan RM400,000 bagi pembinaan semula jambatan yang lebih kukuh dan selamat untuk kegunaan penduduk pedalaman.
“Jambatan baharu ini akan dibina dengan mengambil kira lokasi serta bentuk muka bumi kawasan berkenaan. Selain itu, faktor cuaca di lokasi turut mempengaruhi spesifikasi pembinaan jambatan terbabit,” katanya.
Semalam, media melaporkan jambatan di Pos Balar yang runtuh pada 9 Mac lepas masih belum dibaik pulih dan pembinaan semula memerlukan memohon campur tangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya dapat direalisasikan segera.
-- BERNAMA