KUCHING, 29 Mei (Bernama) -- Sarawak menyatakan kesediaan untuk menghantar pengamal media yang juga anak kelahiran negeri ini untuk menyertai kursus eksekutif berkaitan bidang kewartawanan di Cambridge, United Kingdom.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan berkenaan diambil bagi meningkatkan mutu pelaporan berita, seterusnya mengangkat martabat industri kewartawanan negara.
“Kalau kita boleh beri pendidikan tinggi percuma, sudah tentu saya ada peruntukan untuk menghantar wartawan untuk program eksekutif ini.
“Pemilihan wartawan yang akan ke kursus eksekutif ini melibatkan kerjasama persatuan-persatuan wartawan di Sarawak untuk melihat kelayakan calon… saya harap usaha ini meningkatkan kualiti laporan dan khusus buat pengamal media dari Sarawak yang mempunyai idea-idea baharu untuk masa depan kewartawanan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis Persidangan Karbon Asia 2025 di sini hari ini.
Sebelum ini, Abang Johari dilaporkan berkata Sarawak bercadang menghantar dua wartawan ke Cambridge untuk menyertai kursus eksekutif berkaitan kewartawanan bagi meningkatkan standard laporan berita tempatan agar setaraf antarabangsa.
Bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada golongan pengamal media negara.
Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada Sabtu ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.
-- BERNAMA